Seri Paduka yang berpakaian seragam tentera warna hijau tiba di MIEC, yang juga venue LIMA'19, pada 10.50 pagi.

Sejurus tiba Seri Paduka di­sambut Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral, Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.

Dalam lawatan itu, Sultan Abdullah berkenan melawat ruang pameran serta berkenan duduk dalam kokpit pesawat tempur dan mencuba simulator-simulator pertempuran di udara yang turut dipamerkan.

Seri Paduka turut berangkat melihat pertunjukan udara dari dek MIEC.

LIMA'19 yang akan berlangsung lima hari bermula semalam, akan mempamerkan pelbagai inovasi dan teknologi terbaharu pertahanan udara dan ketenteraan dengan 406 syarikat (206 tempatan dan 200 asing) kebanyakannya berkaitan pertahanan mengambil bahagian. – BERNAMA