Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, kediaman rasmi itu adalah milik kerajaan negeri dan rakyat secara keseluruhannya dan harta itu perlu dilakukan sebagai milik persendirian oleh mereka yang bertanggungjawab.

“Memanglah tempoh yang kita akan buka sehingga 14 haribulan dan kita akan mengikut tempoh itu kerana bagi kita cukuplah masa yang kita berikan hampir lebih 10,000 rakyat yang melihat sendiri Seri Bendahara itu dan itu adalah aset mereka sebenarnya.

“Kita akan uruskan (segala pembaikan yang perlu dilakukan) selepas daripada ini aset itu dengan cara yang baik dan kita akan manfaatkan Seri Bendahara itu untuk kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan berlakunya kerosakan di Seri Bendahara dalam satu sidang akbar di pejabatnya di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini sebentar tadi.

Pagi tadi, Pesuruhjaya Pas Melaka, Kamaruddin Sidek mendedahkan kerosakan-kerosakan di Seri Bendahara dan menyatakan perkara itu tidak boleh dibiarkan kerana sebarang usaha untuk membaikinya akan melibatkan dana rakyat.

Antara kerosakan yang dikesan termasuk tandas-tandas yang terpaksa ditutup kerana tersumbat, suis lampu dan kipas yang rosak selain perkakas yang patah serta rosak.

Sementara itu, Adly memberitahu, beliau sendiri telah pergi ke Seri Bendahara dan melihat tiada kos yang tinggi untuk membaiki keadaan di Seri Bendahara.

“Saya rasa kita harus jujur bahawa rakyat pun harus faham bahawa itu adalah harta rakyat. Jadi, bagi saya mungkin itu persepsi yang dibina tetapi asasnya saya rasa rakyat tidak merosakkan kerana dari segi gambaran ataupun apa yang diambil oleh rakyat itu bagi saya itu adalah kepuasan hati mereka sendiri.

“Ini kerana aset itu adalah aset yang kita buat hasil daripada cukai yang dibayar oleh mereka. Jadi itu memang hak mereka dan saya tak fikir rakyat akan merosakkan Seri Bendahara itu, jadi mungkin ada satu persepsi setakat pasu bunga pecah itu, tidaklah menggambarkan kita merosakkan harta kerajaan negeri itu,” katanya. - UTUSAN ONLINE