Menurutnya, kediaman rasmi ini selain dijadikan rumah kedia­man, ia juga digunakan untuk me­layan tetamu yang membuat lawatan rasmi dan perjumpaan dengan rakyat.

Idris yang kini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang berkata, dakwaan kerajaan negeri kononnya kediaman rasmi itu berkonsep tertutup ketika zaman pentadbiran beliau adalah tidak benar.

“Tiada benda dalam Seri Bendahara ditukarkan dan ia dikekalkan sehingga kini apabila saya memegang jawatan sebagai Ketua Menteri pada 2013.

“Pakatan Harapan di Melaka harus berfikir dan bertindak sebagai kerajaan, sebarang kenyataan yang dikeluarkan harus bergantung kepada fakta, jangan sesekali memainkan peranan sebagai pembangkang dan mengeluarkan kenyataan yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Kerajaan negeri Pakatan Harapan yang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 baru-baru ini memaklumkan keputusan menjadikan Seri Bendahara sebagai lokasi kunjungan terbuka orang ramai selama sebulan bukan bertujuan mahu mengaibkan mana-mana pihak.

Sebaliknya menurut Ketua Menteri, Adly Zahari, pembukaan Seri Bendahara untuk dilawati rakyat bertujuan memberi ruang kepada kerajaan negeri melihat sendiri dan mengambil pengajaran daripada maklum balas yang jujur daripada rakyat.

Idris yang merupakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri berkata, peranan Seri Bendahara itu tidak berubah sejak ia mula dibina pada 2003.

Ditanya mengenai kenyataan Adly bahawa pembukaan Seri Bendahara untuk dilawati oleh rakyat sebagai ‘pengajaran’ atas pilihan kepada kepemimpinan sebelum ini, Idris berkata, Pakatan Harapan tidak perlu menjatuhkan kepimpinan BN untuk menaikkan nama sendiri, sebaliknya mereka harus mengambil tindakan yang lebih praktikal untuk mendapat kepercayaan daripada rakyat.