Malah, serban yang juga dikenali sebagai ‘Thallapa’ itu merupakan sebahagian daripada budaya Tamil yang dipraktikkan sejak zaman dahulu lagi.

Kulasegaran ketika dihubungi berkata, beliau melihat penggunaan serban itu sebagai identiti dan perkara suci baginya sebagai kaum India.

Kata beliau, tindakannya tidak sama sekali memperlekehkan mana-mana kaum di negara ini.

“Ia adalah pakaian tradisional India. Saya hanya mengikut tradisi moyang kita. Malah, menteri Kabinet pertama kaum India negara ini, mendiang Tun V.T. Sambanthan juga pernah mengenakan Thallapa.

“Kali terakhir saya memakainya adalah pada hari perkahwinan saya. Ini adalah sebahagian daripada budaya Tamil dan bukan satu perkara yang luar biasa.

“Malah, pihak Istana juga tidak menghalang saya daripada memakai serban tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Online, semalam.

Langkah Kulasegaran yang mengenakan serban dalam majlis angkat sumpah Menteri Kabinet menerima pelbagai reaksi daripada netizen di laman media sosial termasuk ada yang mendakwa ahli Parlimen Ipoh Barat itu tidak mahu kelihatan seperti orang Melayu atau tidak selesa bersongkok walaupun beliau bukan penganut Sikh.

Jelas Kulasegaran, pemahaman mengenai budaya masyarakat India dalam kalangan rakyat negara ini masih kurang.

“Saya terkejut dengan pandangan beberapa pihak yang kurang sedar mengenai budaya kami dan melemparkan dakwaan tidak berasas. Saya berharap agar perkara seperti ini tidak berlaku lagi pada masa akan datang,” katanya. - UTUSAN ONLINE