Timbalan Menterinya, Datuk Marzuki Yahya berkata, terdapat seramai 1,256 orang rakyat Malaysia di Christchurch dan mereka diminta supaya sentiasa berwaspada ekoran insiden serangan berdarah di dua buah masjid di situ.

“Saya berdoa agar semua rakyat Malaysia yang berada di sana dalam keadaan baik dan menasihatkan mereka supaya menjauhkan diri daripada berada di tempat awam buat masa ini kerana takut ada perkara tidak diingini berlaku lagi,” katanya selepas mengunjungi keluarga salah seorang mangsa, Mohd. Tarmizi Shuib di Hutan Kampung di sini, hari ini.

Semalam, dunia dikejutkan dengan serangan pengganas ala permainan video Player Unknown Battle Grounds (PUBG) di Christchurch yang mengorbankan 49 nyawa serta tiga orang rakyat Malaysia dilaporkan cedera.

Tambah Marzuki, rakyat Malaysia juga dinasihatkan supaya berada di dalam rumah dan menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di negara tersebut jika memerlukan sebarang bantuan.

Ketika ditanya tentang keperluan untuk menyekat perjalanan ke New Zealand, ujarnya, kementeriannya tidak mengeluarkan sebarang arahan kepada rakyat Malaysia untuk ke negara tersebut.

Dalam perkembangan sama, Marzuki memaklumkan, pihaknya membiayai satu lagi tiket penerbangan untuk ahli keluarga Mohd. Tarmizi ke negara berkenaan.

“Dua tiket dibiayai kerajaan negeri dan Pusat Khidmat Parlimen Pokok Sena manakala satu lagi diuruskan pejabat Kementerian Luar, manakala urusan-urusan lain akan dibantu oleh pihak kedutaan di sana,” jelasnya.

Tambah beliau, tiga orang ahli keluarga Mohd. Tarmizi dijangka diterbangkan ke New Zealand selewat-lewatnya Selasa ini. - UTUSAN ONLINE