Menteri Tugas-Tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien berkata, Malaysia amat prihatin dengan laporan Teheran telah membekalkan puak militan Houthi di Iran dengan peluru berpandu balistik tersebut.

“Dengan menyasarkan kota suci Mekah, pada dasarnya mereka (kumpulan pemberontak Houthi Yemen) turut menyerang teras kepercayaan kita.

“Oleh itu adalah penting polisi untuk tidak campur tangan iaitu tidak ada mana-mana negara patut membekalkan kumpulan pemberontak Houthi Yemen dengan peluru berpandu balistik selaras dengan gencatan senjata Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2216,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam mesyuarat tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Jeddah, Arab Saudi semalam bagi membincangkan isu serangan peluru berpandu balistik kumpulan pemberontak Houthi Yemen.

Kumpulan pemberontak Houthi Yemen telah beberapa kali melancarkan peluru berpandu ke arah Arab Saudi sehingga mencetuskan ketegangan antara negara itu dengan Iran.

Pada Julai tahun lalu pula, pasukan pertahanan udara Arab Saudi berjaya memintas peluru berpandu balistik yang dilancarkan oleh pemberontak Houthi Yemen berhampiran Mekah.

Menurut Hishammuddin, Malaysia juga mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kumpulan pemberontak tersebut yang mensasarkan Mekah kerana tindakan itu adalah pencerobohan yang jelas tidak menghormati Mekah sebagai kota suci umat Islam.

Justeru kata beliau, Malaysia akan berdiri teguh menyokong kerajaan Arab Saudi memandang­kan sebarang ancaman yang berlaku terhadap negara tersebut akan menyebabkan ketidakstabilan berlaku di Timur Tengah.

“Malaysia akan sentiasa bersama-sama kerajaan Arab Saudi dalam mempertahankan keamanan negara berkenaan dan kota suci Mekah serta Madinah,” katanya.

Dalam pada itu, Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata, adalah menjadi tanggungjawab untuk semua umat Islam dalam memastikan Mekah kekal sebagai tempat perlindu­ngan yang damai dan aman untuk semua.