Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, pelantikan tersebut bergantung kepada kerajaan yang mempunyai kedudukan sebagai pemegang saham khas FGV Holdings.

“Buat masa ini, kumpulan tersebut masih belum ada lagi yang memegang jawatan CEO dan CFO. Itu semua bergantung kepada pemerintah yang mempunyai kedudukan pemegang saham khas.

“Kehendak pemerintah itu juga pastinya seiring dengan kehendak pemegang saham lain untuk mencapai keuntungan capai prestasi yang baik daripada segi perniagaan,” katanya selepas program Bersama Demi Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail di sini sebentar tadi.

Pada Jun lalu, CEO Kumpulan, Datuk Zakaria Arshad dan CFO, Ahmad Tifli Mohd. Talha merupakan antara empat individu yang diarahkan bercuti hingga mendapat notis selanjutnya daripada Lembaga Pengarah FGV.

Lembaga Pengarah itu mengarahkan empat pegawai kanannya untuk bercuti bagi membolehkan siasatan audit dalaman melibatkan tunggakan bayaran Safitex kepada Delima Oil Products yang juga anak syarikat FGV.- UTUSAN ONLINE