Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kod itu merupakan satu prosedur operasi standard yang perlu diguna pakai oleh negara-negara yang terlibat dalam tuntutan wilayah di Laut China Selatan jika berlaku pertembungan yang tidak dirancang di perairan itu.

Beliau berkata, ASEAN dan China juga sepakat untuk menyelesaikan butiran Kod Tatalaku Pihak-pihak di Laut China Selatan (CoC) pada pertengahan tahun hadapan supaya Deklarasi Tatalaku (DoC) dapat diimplimentasi sepenuhnya.

“Dengan adanya DoC dan CoC ini, kita boleh uruskan Laut China Selatan tanpa bimbang akan berlakunya ketegangan di perairan itu,’’ katanya kepada wartawan Malaysia selepas hari kedua Sidang Kemuncak ASEAN Ke-28 dan 29 di sini hari ini.

Dalam itu, Najib berkata, Malaysia mengulangi pendiriannya bahawa isu maritim itu perlu ditangani menerusi proses rundingan dan tidak ada mana-mana pihak mengambil tindakan yang boleh meningkatkan lagi ketegangan.

“Kita juga berharap keselamatan pelayaran dan penerbangan di kawasan Laut China Selatan akan sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.

Najib berkata, ASEAN dan China hari ini juga melancarkan talian hotline yang akan digunakan oleh pegawai yang terlibat sekiranya berlaku sebarang kejadian di Laut China Selatan.

Ditanya keputusan Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa (PCA) dalam isu tuntutan Laut China Selatan yang memihak kepada Filipina dan kesannya dalam perbincangan dengan China hari ini, Perdana Menteri berkata, China tidak mengiktiraf keputusan tersebut.

Katanya, ini kerana China tidak terikat dari segi undang-undang terhadap keputusan PCA itu yang dibawa secara sebelah pihak oleh Filipina.

“Isu Laut China Selatan memang mengelirukan dan sensitif, jadi kita perlu uruskannya dengan berhati-hati,” katanya.

Sementara itu, kenyataan bersama yang dikeluarkan Sidang Kemuncak ASEAN-China Ke-19 sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-28 dan 29 yang dihadiri semua ketua kerajaan 10 negara anggota pertubuhan serantau itu dan Perdana Menteri China, Li Keqiang menyatakan, CUES bertujuan untuk meningkatkan kese­lamatan operasi kapal dan pesawat di Laut China Selatan dan memastikan kepercayaan bersama semua pihak yang terlibat.

“Kami juga bersetuju untuk menggunakan prosedur kese­lamatan dan komunikasi untuk keselamatan semua kapal dan pesawat sekiranya berlaku pertembungan yang tidak dirancang di Laut China Selatan,” kata kenya­taan itu.

ASEAN dan China juga me­negaskan, semua usaha itu me­nyumbang kepada komitmen untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan, keselamatan maksimum di laut, meningkatkan semangat kejiranan dan meningkatkan kerjasama antara negara. – UTUSAN