Perkara itu disahkan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia menerusi hantaran di akaun Twitter rasmi kedutaan berkenaan.

Menurut kedutaan itu, Dr. Farah Liana Basri selamat tiba di Kuala Lumpur menerusi penerbangan AirAsia pada pukul 4.30 pagi (waktu Malaysia).

Jelas kedutaan tersebut, seorang lagi rakyat Malaysia iaitu, Vijayan Govinathan Nai akan diterbangkan dari Poso ke Jakarta, esok.

“Rakyat Malaysia diminta menghubungi kedutaan dengan serta merta sekiranya ahli keluarga atau kawan anda terjejas dengan kejadian gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah.

“Pihak berkuasa negara itu masih sedang menjalankan usaha mencari dan menyelamat di Palu serta kawasan lain yang terjejas. Kedutaan Malaysia di Indonesia akan terus memantau keadaan di sana,” katanya.

Semalam, Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Sutopo Purwo Nugroho berkata, dua rakyat Malaysia yang berada di Sulawesi Tengah ketika dilanda gempa bumi berukuran 7.4 Skala Ritcher dan tsunami pada Jumaat lalu, dilaporkan selamat dan telah dikeluarkan dari kawasan tersebut. - UTUSAN ONLINE