Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, individu yang dilantik itu nanti merupakan seorang pakar percukaian yang akan membantu memberi penjelasan lengkap mengenai SST.

“Pegawai tersebut akan dilantik selain daripada pengarah dan merupakan pakar dalam sistem percukaian tersebut.

“Kita tidak perlukan ramai pegawai kerana bimbang akan ada tiga atau empat penjelasan berbeza sekali gus mengelirukan orang ramai,” katanya ketika berucap dalam sesi taklimat SST bersama Menteri Kewangan, di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah serta Menteri Besar, Aminuddin Harun.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, pegawai yang dilantik itu nanti perlu menjawab setiap aduan yang diutarakan oleh orang ramai mengenai SST secara lisan.

Walau bagaimanapun, katanya, jika orang ramai perlukan jawapan bertulis, mereka boleh dapatkan daripada Pengarah Kastam negeri masing-masing.

Sementara itu, seramai 500 peserta termasuk pemilik syarikat dan pemain industri di negeri ini hadir bagi mendengar taklimat berkenaan SST tersebut. - UTUSAN ONLINE