Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, masalah itu dijang­ka selesai dalam masa terdekat.

“Daripada 1,400 jemaah yang terkandas sebelum ini, sekarang hanya tinggal seorang. Jumlah yang terkandas sebenarnya tidak ramai tetapi kerana individu yang berdepan masalah itu saling berkaitan jadi kes berkenaan nampak seperti besar.

“Ada kes suami yang terkandas, jadi isterinya tidak mahu pergi, malah ada pula kes hingga membabitkan lapan individu ke­rana mereka bersaudara,” katanya ketika berucap merasmikan pembukaan cawangan ke-147 Bank Islam Malaysia Berhad di Kodiang di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkai­tan, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat palsu mengenai masalah bakal haji terkandas.

Jamil Khir memberitahu, beberapa individu pernah menghubungi­nya dan bertanya sama ada isu tersebut mempunyai kaitan dengan dakwaan pihak tertentu kononnya Lembaga Tabung Haji menghadapi masalah sehingga tidak mampu membeli tiket kapal terbang.

“Ini tidak benar, isu visa diluluskan atau tidak bergantung kepada pihak Arab Saudi, jadi orang ramai perlu hentikan dakwaan yang tidak benar ini,” jelasnya.