Ketua Polis negeri, Datuk Maz­lan Lazim berkata, langkah itu harus diambil supaya pihaknya dapat mengambil tindakan awal mengatasi masalah yang timbul.

“Di setiap sekolah kita sudah melantik tiga atau empat pegawai perhubungan sekolah supaya mereka dapat berhubung dengan pihak sekolah.

“Perkara ini amat penting kera­na kes yang melibatkan pelajar perlu kepada pencegahan. Kalau tidak, perkara ini akan merebak dan akan menimbulkan rasa tidak puas hati ibu bapa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Wad Cempaka, Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) sempena Peringatan Hari Polis Ke-209 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mazlan berkata, polis telah menahan reman seorang pelajar selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes seorang pelajar tingkatan tiga retak di bahagian leher dalam pergaduhan baru-baru ini.

“Kita telah menahan pelajar ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.

“Kita memandang serius kes ini dan punca kejadian sedang disiasat,” katanya.

Sementara itu, menyentuh mengenai dakwaan kemasukan dua lelaki rakyat Turki etnik Uighur ke negara ini melalui sempadan Kelantan-Thailand, beliau berkata, perkara itu sedang dipantau oleh pihak Bukit Aman.

“Bagaimanapun, kawalan sempadan kita antara Narathiwat, Thailand dengan Kelantan sentiasa dipantau dan diperkemaskan,” katanya.