MAZNI ABDULLAH

Ucapan itu ditujukan kepada suaminya, Ismail Yusof, 73 yang mengizinkan dia untuk menjejak kaki ke tanah suci bagi me­nunaikan ibadah haji.

Kesempatan menjadi tetamu Allah buat kali kedua, selepas kali pertama menunaikan umrah pada 2011 dianggap detik terbaik untuk Mazni berdoa agar keluarga menerimanya kembali.

Walaupun sudah memeluk Islam sejak 44 tahun lalu, namun Mazni tetap disisihkan oleh keluarganya dan inilah yang memilukan hati wanita berusia 63 tahun itu.

“Saya akan terus berdoa mereka memeluk agama Islam dan menerima saya kembali,” katanya dalam pertemuan de­ngan wartawan Malaysia di sini semalam.

Bagaimanapun, Mazni bernasib baik kerana hubungan de­ngan bapanya tidak terjejas walaupun mereka berlainan agama.

“Masa saya memeluk Islam pada usia 19 tahun, bapa bukan sahaja tidak menghalang malah mengingatkan saya supaya mengamalkan Islam betul-betul dan jangan tinggalkan solat,” katanya.

Demi perasaan sayang kepada bapanya yang kini terlantar sakit akibat serangan angin ahmar, Mazni secara diam-diam menziarahi lelaki tersebut.

“Walaupun jarang bertemu kerana bimbang dimarahi oleh adik beradik lain namun saya tetap berusaha berjumpa de­ngan bapa,” katanya.

Mazni memberitahu, dia yang datang bersama anak bongsu dan menantunya menggunakan wang simpanan hasil menghadiri kelas agama.

“Sebagai mualaf saya dibayar RM60 seminggu apabila menghadiri kelas yang dikendalikan oleh seorang ustaz dan menerima RM40 seminggu apabila belajar mendalami agama yang dianjurkan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim).

“Semua wang itu saya kumpul sehinggalah ia mencukupi untuk saya menunaikan ibadah haji,” katanya yang mempunyai empat anak dan 10 cucu. – MINGGUAN