Rais Yatim
Rais Yatim

Beliau berkata, usaha ini pen­ting bagi memastikan adat dan budaya tradisional masyarakat Melayu tidak luntur ditelan zaman.

“Selaras dengan Kongres Budaya 2017 baru-baru ini, kita akan me­nemui Menteri Kerja Raya (Datuk Seri Fadillah Yusof) dan beberapa pihak berkuasa lain untuk me­nerima cadangan kita supaya ja­ngan melupai ciri-ciri tradisional (masyarakat Melayu) dalam seni bina tanah air, mi­salnya (ia boleh) dibuat di pejabat menteri, ketua-ketua pengarah atau pejabat Menteri Besar.

“Sekiranya ini tidak dapat kita lakukan, maka kita akan terus ditelan zaman dan hilang identiti kita,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kem Penghayatan Seni Bina Tradisional (KAST) 2017 Negeri Sembilan di sini hari ini.

Turut hadir Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris dan Pengarah Muzium Warisan Me­layu UPM, Dr. Muhammad Pauzi Abd. Latif.

Mengulas lanjut, Rais berkata, pihaknya juga akan mengadap Raja-Raja Melayu dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung 11 resolusi yang dicapai pada Kongres Budaya 2017 itu yang berlangsung pada 17 April lepas.

Beliau berkata, resolusi itu antaranya menyentuh mengenai aspek bahasa Melayu, budaya tinggi dan industri kreatif.

Dalam pada itu, beliau juga melahirkan kebimbang­an mengenai masa depan adat dan budaya orang Melayu yang kini kian terhakis dengan peredaran zaman yang menurutnya mampu menghakis Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan yang mendefinisikan orang Melayu sebagai seseorang yang menganuti agama Islam, bertutur dalam bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu.

“Bagi saya ia harus dipelopori oleh UMNO kerana UMNO adalah parti tulang belakang orang Melayu. Ia juga harus disertai oleh PAS, PKR (Parti Keadilan Rakyat) dan parti-parti politik sendiri seharusnya mengambil berat tentang Perkara 160 ini.

“Dengan matinya adat, hilangnya adat maka sifat kemelayu­an itu hilang dan boleh dipertikai oleh orang dan parti-parti politik sendiri tak kira apa idealismenya, perlulah menghidupkan semula tentang adat. Adat bererti cara hidup orang Melayu,” katanya.

Dalam pada itu, Rais berkata, Transformasi Nasional 2050 (TN50) juga mesti mengandungi roh perjuangan pembudayaan dan adat untuk diwarisi generasi akan datang.

“Jika ini dapat kita laksanakan, maka berertilah ia pada masa depan generasi tanah air,” kata­nya.

Mengenai KAST 2017 anjuran UPM, beliau berkata, melalui program itu, seni bina Melayu akan dapat dipertahan dan dipulihara demi kelangsungan generasi akan datang.

“Kita seakan-akan lupa bahawa sebelum adanya rumah batu, rumah Melayu itulah yang menjadi naungan orang Melayu itu sendiri. Justeru dengan adanya majlis pe­ngadaan semula (rumah tradisional Melayu) ia membawa kembali semangat kekitaan,” katanya.

KAST 2017 yang berlangsung selama 4 hari itu bermula Rabu lepas dan disertai 35 pelajar dan pensyarah jurusan seni bina daripada enam institusi pengajian tinggi itu bertujuan untuk memberi pendedahan mengenai warisan seni bina tradisional. – BERNAMA