Beliau memberitahu, opera­si­ kamera dan saman AES akan diambil alih sepenuhnya oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula 1 September ini.

Katanya, langkah itu dilaksa­nakan selepas kerajaan memutuskan untuk tidak menyambung kontrak dua syarikat konsesi pe­ngendali sistem AES yang tamat pada 31 Ogos ini iaitu A.T.E.S dan Beta Tegap Sdn. Bhd.

“Kerajaan telah ‘berkorban’ untuk tidak mengutip saman AES ini, maka semua saman AES setakat ini yang masih belum dibayar oleh orang ramai telah dibatalkan.

“Jumlah saman yang belum dibayar ialah sebanyak 3.1 juta. Setiap saman AES bernilai RM150, maka semuanya RM435 juta,” katanya selepas menyempurnakan Kempen Kibar Jalur Gemilang Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.

Sementara itu Anthony berkata, tiada pembayaran balik akan diberikan kepada mereka yang telah pun membayar saman AES sebelum ini.

Beliau berkata, daripada ke­semua 3.76 juta saman melibatkan sistem itu sejak 2012, hanya sebanyak 18 peratus atau melibatkan hampir RM700,000 sahaja saman AES telah dibayar.

“Saya mengambil kesempatan memohon maaf kepada mereka yang telah membayar saman ini. Mereka mungkin rasa tidak adil tetapi dengan semangat Hari Raya Aidiladha yang akan datang, kita kena ‘berkorban’ juga, jadi tiada bayaran balik,” katanya.

Pada masa sama, Anthony turut mengumumkan kerajaan bersetuju untuk membayar semula wang dana milik Tabung Lembaga Angkatan Tentera Malaysia (LTAT) sejumlah RM555 juta yang digunakan kerajaan terdahulu untuk mengambil alih operasi AES.

Bagaimanapun katanya, bayaran tersebut akan dibuat secara berperingkat.

“Pembatalan kesemua saman AES ini bagaimanapun hanya dibuat sekali sahaja.

“Bermula 1 September ini, kita akan mula menguatkuasakan semula kesemua peruntukan yang ada dengan tegas dan kesalahan akan dilaksanakan sepenuhnya tanpa pengurangan dan penge­cualian,” katanya.

Dalam pada itu, Anthony turut mengumumkan bahawa kerajaan menangguhkan pelaksanaan sistem e-panggilan yang sepatutnya wajib dipasang pada kenderaan baharu bermula Julai 2019.

“Selepas kementerian me­nerima maklum balas daripada pihak industri, kerajaan mengambil keputusan untuk menangguhkan pelaksanaan sistem berkenaan.

“Tiada lagi tarikh ditetapkan untuk pelaksanaannya tetapi kita akan kaji,” katanya.