Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mustapha berkata, kehadiran rakyat Malaysia dalam himpunan itu bagi menyemarakkan lagi semangat dalam memberi sokongan terhadap isu Baitulmuqaddis agar ia terus kekal di bawah penguasaan umat Islam.


“Jakim justeru itu, menyeru rakyat Malaysia untuk hadir beramai-ramai ke himpunan perdana ini yang bermula dari pukul 12 tengah hari sehingga 3 petang.


“Seluruh rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama dijemput untuk bersolidariti bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi demi mengembalikan hak eksklusif rakyat Palestin ke atas Baitulmaqdis dan juga seluruh bumi Palestin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Menurut Othman, semoga himpunan perdana itu akan berjaya menghasilkan impak yang besar kepada solidariti umat Islam di Malaysia dan di seluruh dunia terhadap isu Baitulmuqaddis dan Palestin.


Katanya, penganjuran himpunan ini adalah merupakan lambang solidariti rakyat Malaysia secara aman bagi memberi sokongan terhadap rakyat Palestin dan menunjukkan protes kita terhadap cadangan Baitulmuqaddis dijadikan sebagai ibu negara Israel. - UTUSAN ONLINE