Syed Anuar Syed Mohamad
SYED ANUAR SYED MOHAMAD

Presidennya, Syed Anuar Syed Mohamad berkata, justeru itu pihaknya mendesak semua hakim mempertimbangkan untuk menggunakan sepenuhnya bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam prosiding di mahkamah di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Beliau memberitahu, ini kerana semua negara, tidak terkecuali Jepun, Amerika Syarikat dan sebagainya menggunakan bahasa kebangsaan yang merupakan bahasa rasmi negara masing-masing melibatkan kes perbicaraan di mahkamah.

“Secara asasnya negara telah meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, maka kita wajib menggunakan bahsa Melayu. Bagaimanapun kita rasa kesal apabila peguam negara sendiri mengikuti perbicaraan dalam mahkamah menggunakan bahasa Inggeris.

“Ini seolah-olah mencabul bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Kita harap hakim pertimbangkan apa saja kes (mahkamah) mesti guna bahasa Melayu kecuali pesalah atau saksi minta guna bahasa lain,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri hari ini.

GPMS
GPMS

Syed Anuar mengulas tindakan peguam negara, Tommy Thomas yang menggunakan bahasa Inggeris dalam sidang media berkaitan kes melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini sehingga mengundang kecaman pelbagai pihak.

Beliau seterusnya berkata, adalah pelik apabila pengabaian penggunaan bahasa Melayu dalam urusan mahkamah melibatkan peguam negara sendiri sehingga mencemar kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

Syed Anuar juga berharap agar hakim-hakim jangan melayani kehendak pihak lain supaya mengutamakan penggunaan bahasa Inggeris di mahkamah kerana dikhuatiri menjadi kebiasaan dan akan memberi kesan tidak baik kepada negara.

“Saya berpegang kepada apa yang termaktub di dalam perlembagaan negara tak kira sama ada Semenanjung, Sabah atau Sarawak. Selama mana kita iktiraf perlembagaan negara ia bermaksud kita kena taat keluhuran perlembagaan itu yang menjadi salah satu daripada prinsip Rukun Negara,” katanya. - UTUSAN ONLINE