Sambil menyifatkan majlis konsultasi sebagai platform penting bagi sektor awam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memberi pandangan terhadap cabaran serta langkah menanganinya, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, usaha itu turut menunjukkan dasar keterbukaan dan keprihatinan kerajaan dalam mendahulukan kepentingan rakyat.

Malah, kata Perdana Menteri, pembentangan yang dikemukakan oleh wakil daripada Bank Dunia, Malaysian Rating Corporation Berhad, Deloitte Southeast Asia, Universiti Malaya dan Catcha Group juga sangat berguna dan informatif.

“Banyak isu yang telah dibangkitkan antaranya oleh Dr. Deepak Mishra dari Bank Dunia yang mencadangkan agar fokus diberikan kepada peningkatan produktiviti serta pertumbuhan yang lebih inklusif termasuk penambahan tenaga kerja wanita.

“Malaysian Rating Corporation Berhad yang diwakili oleh Nor Zahidi Alias pula mengunjurkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5 peratus pada tahun 2018 dan beliau mencadangkan agar usaha-usaha diteruskan untuk meningkatkan pertumbuhan pendapatan bagi penduduk bandar bagi menangani isu golongan miskin bandar atau urban poor,” kata Najib menerusi laman blog beliau, najibrazak.com hari ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut berkata, beliau yakin persekitaran global yang berdaya saing mampu dicapai oleh negara dengan membangunkan semangat keusahawanan kuat selain digerakkan dengan budaya inovasi dan kreativiti yang memberi keutamaan kepada ekonomi digital.

Katanya, bagi mencapai hasrat itu, Malaysia harus lebih proaktif dan agresif menerapkan penggunaan teknologi dan pendigitalan dalam perniagaan yang secara langsung dapat meningkatkan produktiviti.

“Digital Malaysia diberi keutamaan yang tinggi dalam agenda kerajaan dan kita akan memperhebatkan inovasi memandangkan ia adalah faktor pembezaan memacu keuntungan dan pertumbuhan jangka panjang. Justeru, saya berasa gembira apabila mendapat maklum balas positif mengenai inisiatif seperti Digital Free Trade Zone yang disampaikan oleh wakil Associated Chinese Chambers of Commerce and Industry of Malaysia (ACCCIM).

“Dalam menggalakkan pertumbuhan e-Dagang, wakil ACCCIM juga mencadangkan peningkatan nilai pengecualian cukai ke atas pembelian dalam talian. Kavita Rekhraj dari Deloitte Southeast Asia pula telah menekankan kepentingan ‘sharing economy’ dan bagaimana konsep tersebut boleh memberi manfaat besar kepada rakyat Malaysia.

“Contohnya, seorang pemandu e-Hailing boleh mendapat pendapatan sebanyak RM4,300 sebulan dan seorang hos platform Airbnb boleh mendapat pendapatan sebanyak RM17,000 jika mendapat tempahan sebanyak 60 malam,” katanya.

Selain itu, kata Perdana Menteri, Patrick Grove dari Catcha Group juga telah mencadangkan agar Malaysia menjadi negara pertama memperkenalkan rangka kerja berkenaan penghantaran barang menggunakan dron selain mendigitalkan semua perkhidmatan kerajaan dalam meningkatkan kecekapan.

“Beliau juga menyarankan agar subjek kecerdasan buatan (artificial intelligence) dijadikan sebahagian daripada kurikulum di sekolah menengah bagi memastikan sistem pendidikan negara menghasilkan pelajar yang inovatif. Ini penting dalam memastikan pelajar kita berupaya berubah mengikut keperluan masa hadapan lebih-lebih lagi untuk mengisi pekerjaan yang kini masih belum wujud lagi,” katanya.

Tambah Perdana Menteri, topik pendidikan turut dibincangkan dalam majlis itu antaranya wakil daripada Persatuan Sains Sosial Malaysia (PSSM) memohon agar peruntukan biasiswa dan geran bagi pelajar universiti swasta berdasarkan merit diwujudkan terutamanya kepada golongan berpendapatan rendah dan kurang upaya selain berharap kerajaan meningkatkan peruntukkan untuk latihan vokasional.

Menurut Datuk Seri Najib, beliau turut berkongsi mengenai prestasi ekonomi negara bagi suku pertama tahun ini yang mana ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.6 peratus dengan pelaburan langsung asing (FDI) meningkat kepada RM17 bilion terutamanya dalam sektor perkhidmatan, perlombongan dan pembuatan.

“Saya yakin ekonomi negara akan kekal stabil dan kukuh dengan pertumbuhan yang positif hasil daripada dasar-dasar yang digubal kerajaan

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada 236 wakil institusi yang hadir dan telah menyumbang kepada perbincangan yang sangat intensif dan produktif pagi tadi. Insya-Allah, kerajaan akan membentangkan bajet yang prihatin terhadap masalah rakyat serta progresif dalam memastikan negara terus maju membangun ke arah Transformasi Nasional 2050 (TN50),” katanya. - UTUSAN ONLINE