Setiausaha Agung UMNO yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, soko­ngan berkenaan dinyatakan oleh semua Ketua UMNO Bahagian dalam satu pertemuan di kediaman rasmi Perdana Menteri di sini semalam.

“Semua (Ketua-ketua UMNO Bahagian) menyatakan kami bersama-sama di belakang Datuk Seri Najib demi agama, bangsa dan masa hadapan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persida­ngan Perwakilan Pergerakan Wa­nita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Putrajaya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini malam ini.

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, beliau amat bersyukur kesemua Ketua UMNO Bahagian bersatu teguh dalam mempertahankan institusi kepresidenan UMNO.

“Kita selalu sebut kalau kita tidak bersatu, pasti ada orang cuba meruntuhkan, mereka (pembangkang) ambil ka­edah memburukkan Presiden (UMNO), kerana mereka tahu parti kuat apabila Presiden kuat,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Adnan mendedahkan terdapat cubaan sebuah parti serpihan UMNO untuk ‘menggoda’ Ketua-ketua Cawangan UMNO dengan pelbagai ganjaran dan habuan.

“Ketua Cawangan ini mene­lefon saya dan memberitahu apa diminta dan boleh diberikan (oleh parti serpihan UMNO) namun mereka tetap teguh dan menyatakan sokongan kepada UMNO,” katanya.