Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, keputusan tersebut dicapai hasil mesyuaratnya dengan Menteri Perdaga­ngan Indonesia, Rachmad Gobel di sini hari ini.

“Ini perkara utama yang kami bincangkan. Kerajaan Indonesia mempunyai hasrat yang sama dengan Malaysia supaya dikaji semula kemungkinan membuka balik sempadan kedua-dua negara untuk urusan perdagangan,” katanya kepada wartawan Malaysia dalam sidang akhbar sempena lawatan kerja ke negara ini.

Kunjungan beliau ke sini bagi menghadiri Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang berlangsung sejak Ahad lalu.

Menurut Mustapa, beliau juga telah melawat kedua-dua kawasan tersebut baru-baru ini dan diberi taklimat mengenai kawasan berkenaan serta mengadakan pertemuan dengan Gabenor Kalimantan Barat, Dr. Cornelis di Pontianak bagi membincangkan liberalisasi perdaga­ngan sempadan tersebut.

Perdagangan rentas sempadan di kedua-dua kawasan sempadan Malaysia-Indonesia itu yang menjana pendapatan penduduk sekitar menghadapi masalah sehingga terpaksa ditutup sejak pertengahan tahun lepas.

Mustapa menjelaskan, pada da­sarnya persetujuan secara prinsip telah dicapai untuk membuka semula sempadan kedua-dua negara ini bagi urusan perdagangan.

Bagaimanapun, katanya, perbincangan lanjut akan diadakan di peringkat pegawai kanan kerana perkara ini perlu melalui proses undang-undang sebelum dapat dilaksanakan.

Menurut Mustapa, Malaysia dan Indonesia telah menjalankan dagangan melalui pintu sempadan berkenaan sejak sekian lama tetapi pada pertengahan tahun lepas, jumlah perdagangan menurun dengan mendadak kerana tindakan pe­nguatkuasaan yang dilaksanakan oleh kerajaan Indonesia.

Katanya, tahun lepas jumlah perdagangan antara kedua-dua negara melalui Tebedu dan Entikong telah menurun kepada RM395 juta berbanding RM713 juta pada 2013 manakala dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, jumlah daga­ngan adalah sebanyak RM27 juta.

Perdagangan sempadan adalah satu komponen penting dalam perdagangan antara negara-negara ASEAN yang menyumbang peratusan agak tinggi dari segi hasil negara. – UTUSAN