Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, seminar tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang isu jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan cara melindungi mereka.

Beliau yang juga Penaung Permata memberitahu, menerusi penganjuran seminar berkenaan, pihak berkaitan boleh mendapatkan komitmen semua pihak dalam usaha mencegah dan membasmi jenayah seksual terhadap kanak-kanak serta menyediakan perkhidmatan sokongan.

“Yang penting, kita mahu memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai perlunya mewujudkan satu akta baharu ber­kenaan jenayah seksual ter­hadap kanak-kanak kerana itu memang objektif penganjurannya.

“Saya berharap penganjuran seminar ini akan membantu kerajaan untuk membawa perubahan dari segi perundangan terhadap usaha tersebut,” kata­nya dalam sidang akhbar di Seri Perdana di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluar­ga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Karim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Seminar yang dianjurkan secara percuma itu turut mendapat kerjasama Jawatankuasa Bertindak Mengenai Isu-isu Jenayah Seksual Kanak-kanak yang dipengerusikan Azalina. Ia turut dianggotai Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia.