Abd. Majid Kassim yang ditugaskan menjaga galeri tersebut menyifatkan, galeri yang diwujudkan bagi mengabadikan sejarah bencana tsunami hanya sia-sia sahaja sekiranya tidak dibuka kepada orang ramai.

“Penduduk kampung sini pun selalu tanya saya bila nak buka galeri ini, tapi saya hanya ditugaskan menjaga galeri ini saja. Apa-apa pun kena tanya pihak berkuasalah,” katanya ketika ditemui di galeri tersebut baru-baru ini.

Tragedi tsunami pada 26 Disember 2004 turut mengakibatkan 11 kematian di Kedah, 10 daripadanya di Kuala Muda.

Abd. Majid berkata, ketika ini galeri tersebut hanya akan dibuka sekiranya terdapat permintaan khas seperti lawatan sekolah, namun surat permohonanan perlu terlebih dahulu dikemukakan kepada Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK).

Galeri yang terletak berse­belahan dengan Tugu Tsunami itu, menempatkan lukisan kejadian tsunami dan informasi berkaitan bencana alam lautan itu.

Manakala di luar galeri tersebut, beberapa rumah penduduk yang musnah disebabkan ombak besar semasa tsunami melanda dijadikan memorial tsunami.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Muda, Mohammad Kamal berkata, tragedi tsunami yang berlaku di sini sebenarnya berupaya merubah suasana persekitaran sekali gus menjana pendapatan penduduk setempat.

“Sekiranya kawasan sekitar dapat dibangunkan seperti di Pantai Merdeka dan Pantai Murni di Yan, semak yang menghalang pemandangan laut dibersihkan, laluan di sepanjang jalan dinaik taraf, disediakan kemudahan letak kenderaan, diwujudkan taman, pengunjung boleh beriadah di sini,” katanya.

Tambahnya, pembinaan Tugu Memorial Tsunami dan Galeri Tsunami sejak beberapa tahun lalu, kini kelihatan terbiar tanpa penyelenggaraan.

“Kawasan pantai ini mempunyai pemandangan laut yang luas, sehingga boleh melihat Pulau Pinang yang berjiran dengan ne­geri ini. Jika ditambak dan disediakan laluan pejalan kaki, sudah tentu suasana sekitar kawasan ini lebih menarik dan menarik lebih ramai pengunjung, terutamanya menjelang Discover Kedah 2016,” katanya.

Bagaimanapun, Pegawai Pelancongan Majlis Perbandaran MPSPK, Mohd. Amin Ali dimaklumkan, galeri Tsunami tersebut walaupun secara luarannya telah siap, ia masih kekurangan bahan pameran.

“Ia belum dibuka kepada orang ramai, sebab yang ada hanya ada lukisan di dinding sahaja, kalau buka pun memang kena lengkapkan dahulu,” katanya.

Bangunan galeri tersebut, katanya, diberikan kepada MPSPK oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) sekitar 2007, namun atas kekangan peruntukan serta kekurangan bahan pameran, ia masih belum dibuka sehingga sekarang.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya kini sedang berusaha kembali untuk memberi nafas baharu kepada galeri tersebut dan bercadang untuk melihat idea Muzium Tsunami Acheh yang boleh diguna pakai dalam galeri tersebut.

“Mungkin dalam Januari ini kita akan ke Acheh untuk tengok bagaimana Muzium Tsunami di Acheh beroperasi dan kita akan kumpul idea dan bahan untuk galeri kita,” katanya. – BERNAMA