Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, sehubungan itu pihaknya yang mewakili seluruh rakyat negeri ini melahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri di atas kelulusan projek-projek tersebut.

Kata beliau, kesemua pelaksanaan projek-projek itu dengan ada antaranya tidak tersenarai di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) sebelum ini, akan dimulakan pembangunannya pada tahun ini.

"Projek pembinaan terminal pengangkutan awam bersepadu di Seriab dengan peruntukan sebanyak RM30 juta baru disenaraikan kerajaan (dalam RMK-11). Malah kita sudah diberi peruntukan RM2 juta untuk kerja-kerja awal (pembinaan)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) negeri di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Agung Mubarak, Datuk Abdul Rahman Ibrahim dan Yang Dipertua Mubarak negeri, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu.

Mengulas lanjut, Azlan memberitahu, pembinaan sebuah loji rawatan air berkapasiti 40 juta liter di Tasoh dekat sini dengan peruntukan sebanyak RM41.1 juta, boleh membantu menangani isu bekalan air terawat di seluruh negeri.

"Loji ini juga diperlukan bagi membekalkan air terawat ke Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) untuk keperluan pelabur-pelabur di situ," katanya.

Begitu juga ujar Azlan, kelulusan pembinaan sebanyak 1,400 unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di ketiga-tiga kawasan Parlimen dengan peruntukan RM218.4 juta bagi penduduk yang memerlukan.

"Bagi mengatasi isu banjir, kerajaan mengumumkan pembinaan pintu kawalan air di Sungai Perlis dengan peruntukan sebanyak RM50 juta," katanya. - UTUSAN ONLINE