Perkara itu disahkan oleh Pang­l­ima Tentera Laut, Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin melalui akaun Twitter beliau yang menjelaskan semuanya berada dalam keadaan baik dan selamat.

“Ekoran laporan dari kapal dagang, pesawat Beechcraft TUDM (Tentera Udara Diraja Malaysia) telah ditugaskan dan melaporkan bot dijumpai selamat kira-kira 167 kilometer timur Kuantan.

“Mereka nampak baik dari udara. Terima kasih kepada semua yang membantu dalam operasi mencari dan menyelamat. Kerjasama berpasukan yang baik!” kata beliau.

Berikutan penemuan itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein turut menzahirkan rasa syukur.

“Alhamdulillah telah dapat dikesan dan kelihatan,” ujar beliau menerusi akaun Twitter.

Pada Sabtu lalu, sembilan anak kapal KD Perdana yang terdiri daripada seorang pegawai berpangkat Leftenan dan lapan Laskar Kanan telah ditugaskan memeriksa bot nelayan Vietnam yang memasuki perairan negara.

Bagaimanapun, bot tersebut gagal dihubungi sejak pukul 1.30 petang dan kali terakhir dikesan berada di kedudukan kira-kira 54 kilometer dari darat di perairan Tanjung Sedili.

Berikutan kehilangan itu, bilik operasi mencari dan menyelamat telah ditubuhkan di Markas Wilayah Laut 1, Pangkalan TLDM Tanjung Gelang, Kuantan.

Sebanyak 13 aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah diatur gerak untuk mencari serta menyelamat anak-anak kapal itu.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dalam lawatan kerja ke Riyadh, Arab Saudi mengucapkan kesyukuran dengan penemuan anak kapal berkenaan.

“Syabas kepada pasukan mencari dan menyelamat dan terima kasih kepada semua yang memberi bantuan,” katanya melalui akaun Facebook miliknya.