Pemeriksaan secara besar-besaran itu dilakukan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) bersama Jabatan Pertanian dan Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian (Mardi) serta Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Pemeriksaan Malaysia (MAQIS)

Menurut Ketua Setiausahanya, Datuk Mohd. Sallehhuddin Hassan, tujuan pemeriksaan mengenalpasti tahap kualiti cili yang diimport sama ada selamat untuk dimakan ataupun tidak.

“Dalam pemeriksaan hari ini, kami bawa bersama kit pemeriksaan untuk mendapatkan maklumat awal sama ada cili yang diimport memenuhi kadar MRL yang dibenarkan.

“Berdasarkan sampel yang diperiksa, kadar MRL berada pada tahap selamat cuma sampel kedua yang diperiksa berada pada ‘border line’.

“Namun keputusannya masih belum konklusif dan sampel cili akan dibawa ke makmal jabatan berkenaan untuk diperiksa dengan lebih teliti,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Dalam pada itu beliau turut mengulas mengenai dakwaan lambakan cili import yang dipercayai memberi ancaman kepada petani tempatan.

Beliau bagaimanapun menafikan dakwaan sedemikian dan memberitahu, negara memerlukan kira-kira 70,000 tan cili setahun untuk memenuhi pasaran tempatan.

"Pada tahun 2017, pengeluaran cili merah tempatan sebanyak 27,000 tan hanya mampu menampung 37 peratus daripada permintaan negara. 

"Sehubungan dengan itu, baki sebanyak 63 peratus lagi perlu ditampung melalui pengimportan bagi memastikan bekalan cili merah dalam pasaran mencukupi.

"Dari Januari sehingga Julai 2018, sebanyak 1,092 Permit Import dikeluarkan bagi mengimport 31,000 tan metrik cili merah melalui 16 pintu masuk negara  diwartakan," jelasnya.

Tambah Mohd. Sallehhuddin lagi, tiada lambakan cili import berlaku dalam pasaran tempatan.

“Tiada tekanan terhadap lambakan cili tetapi yang hanya adalah tekanan pada harga. Sebagai contoh, di Pasar Borong Kuala Lumpur, cili jenis kulai dijual pada RM8.00 sekilogram dan merah minyak pula RM6.50 sekilogram.

“Sementara cili dari Vietnam yang dibawa masuk dari bulan April hingga Ogos tahun ini dijual pada harga RM3.90 sekilogram,” ujarnya.

Terdahulu, Laporan Khas Utusan Malaysia melaporkan Malaysia menjadi sasaran lokasi ‘pembuangan’ sayur-sayuran khususnya cili yang gagal melepas piawaian negara lain seperti Singapura dan Jepun.

Justeru terdapat kebimbangan terdapat tahap keselamatan cili diimport dari China, Vietnam dan Thailand yang boleh mempengaruhi kesihatan pengguna di negara ini.

Ekoran laporan berkenaan, MOA telah menubuhkan pasukan khas bagi memantau isu berkaitan pengimportan sayur-sayuran dan buah-buahan ke negara ini. - UTUSAN ONLINE