Begitupun, Noor Hilali Hussain, 58, tetap bersyukur kerana lapan anaknya dapat menjejakkan kaki ke Mekah tahun ini sebagai dhuyufurrahman bersama-samanya hasil perancangan serta simpanan wang selama 18 tahun.

Dalam tempoh tersebut, wang bonus yang diterima Noor Hilali sebagai pegawai di Bank Islam serta duit raya anak-anak semuanya dimasukkan ke dalam akaun Tabung Haji kerana perlu mencukupkan sekurang-kurangkan RM90,000 agar mereka bersama-sama dapat menunaikan ibadah haji.

Noor Hilali ketika ditemui bersama anak-anaknya di Maktab 79, Zuwair Albait memberitahu, keinginan membawa kesemua sembilan anaknya mengerjakan haji timbul pada tahun 2000.

Katanya, ketika itu dia bersama suami, Wan Abd. Hamid Wan Muhammad, 60, mengerjakan haji, lalu mereka berdua berdoa agar keinginan itu dimakbulkan.

Menurutnya, pada 2006 apabila wang RM14,300 mencukupi, dia dan suami mendaftarkan se­rentak nama mereka dan sembilan anak iaitu RM1,300 seorang de­ngan Tabung Haji.

“Kami mendaftar serentak supaya dapat pergi haji bersama-sama. Jika tidak, mungkin kena buat rayuan. Semua anak me­nguruskan sendiri cuti masing-masing termasuk yang masih bersekolah dan di kolej supaya dapat pergi bersama-sama ,” katanya yang tinggal di Kampung Pandan, Ampang, Selangor.

Namun takdir menentukan anak keempatnya, Wan Adnin Illiyyin meninggal dunia pada 2013 akibat serangan tibi ketika berusia 21 tahun.

Lapan anaknya yang mengerjakan haji bersamanya ialah Wan Abdullah Shahid, 33; Wan Abdullah Shakir, 31; Wan Abdullah Shahir, 28; Wan Iman Nawwarah, 23; Wan Abdullah Shamil, 21; Wan Abdullah Shamim, 19; Wan Abdullah Shabil, 17; dan Wan Abdullah Sharaf, 16.

Bagaimanapun, bapa mereka seorang peniaga yang turut mendapat tawaran haji, tidak dapat bersama kerana mempunyai urusan di tanah air.

Menurut Noor Hilali, tiga anaknya yang sudah bekerja iaitu Wan Abdullah Shahid seorang peniaga, Wan Abdullah Shakir sebagai juruteknik dan Wan Abdullah Shahir seorang peguam syarie banyak membantu menampung keperluan mereka mengerjakan haji.

Sementara itu Wan Abdullah Shamil berkata, apabila pergi ke Masjidilharam beramai-ramai, keha­diran mereka sekeluarga sering menarik perhatian jemaah Malaysia.

“Mereka kata kami beruntung dapat datang ke sini pada usia muda kerana ramai yang menunggu giliran. Jadi mereka nasihatkan kami buat haji sebaik mungkin,” katanya. – MINGGUAN

Dalam pada itu, Wan Abdullah Shabil yang belajar di Akademi Lembah Ilmu, Lembah Jaya, Ampang pula tidak putus-putus berdoa agar memperoleh keputusan semua A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tahun ini.

Sementara itu, Wan Abdullah Sharaf pula tidak percaya akan dapat mengerjakan haji dalam usia 16 tahun kerana pada fikirannya hanya golongan tua sahaja yang pergi haji, malah rakan-rakannya juga pelik dia pergi menghadiri kursus haji.

“Masa berkursus pun masih tak percaya, hanya selepas jejakkan kaki ke sini baru percaya,” katanya.