Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh menjatuhkan hukuman tersebut terhadap kesemua tertuduh itu selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966, iaitu mengganggotai satu pertubuhan yang menyalahi undang-undang .

Tertuduh terbabit ialah Chan Yi Heng, Hanry Tan Cheng Yu, Lim Boon Hooi, Yeong Kah Man, Yeoh Choon Hin, Yeoh Choon Hong, Tang Soon Poh, Teoh Chin Yeow dan Teng Kok Loon.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Lim Cheah Yit meminda pertuduhan tertuduh daripada Seksyen 130V Kanun Keseksaan di bawah Sosma kepada Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.

Seramai 18 lagi tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pindaan itu dan mahkamah memerintahkan kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Majistret.

Selepas pindaan itu, pertuduhan terhadap kesembilan tertuduh tidak lagi di bawah Sosma dan pertuduhan pindaan turut memperuntukkan hukuman yang lebih ringan iaitu hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Seksyen 130 V Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan pindaan, mereka didakwa menjadi anggota " Geng 24" yang merupakan satu pertubuhan yang menyalahi undang-undang antara 1 Jan 2015 hingga 6 Mei 2017.

Mahkamah kemudian memerintahkan kesemua tertuduh menjalani hukuman dari tarikh mereka ditangkap iaitu 6 Mei 2017. - BERNAMA