Perdana Menteri berkata, Malaysia boleh memanfaatkan hubungan ini dalam meningkatkan lagi perdagangan, pembangunan dan kerjasama dalam pelbagai bidang yang kini semakin menjadi cabaran bukan sahaja di negara maju tetapi juga di negara selatan-selatan.

Menurutnya, banyak perkara boleh ditangani bersama khusus­nya mengenai ancaman pengganas, pelampau agama, pengurusan bencana, perdagangan dan pembangunan modal insan.

‘‘Oleh itu ‘Semangat Bandung’ ini perlu diteruskan sebagaimana dasar-dasar yang telah dicetuskan 60 tahun lalu,’’ katanya kepada pemberita Malaysia sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Perdana Menteri berada di sini bagi menghadiri upacara memperingati 60 tahun Persidangan Asia-Afrika hari ini. Beliau bersama Pre­siden Indonesia, Joko Widodo dan 21 ketua kerajaan lain menyertai ‘perjalanan bersejarah’ kira-kira 100 meter dari Hotel Savoy Homman ke Gedung Merdeka, tempat berlangsungnya persidangan pertama pada 1955.

Perdana Menteri dan pemimpin-pemimpin Islam lain kemudiannya menunaikan solat Jumaat di Masjid Raya, Bandung, berhampiran Gedung Merdeka sebelum diraikan pada majlis jamuan tengah hari oleh Joko Widodo.

Dalam pada itu, Najib berkata, satu perkara yang belum dicapai sepenuhnya oleh pakatan negara dalam Persidangan Asia-Afrika ini ialah dalam usaha menentang penjajahan.

‘‘Semua negara yang terlibat dalam Persidangan Bandung ini sudah mencapai kemerdekaan ke­cuali Palestin,’’ ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, Malaysia tetap tegas dengan pendiriannya supaya Semangat Bandung terutama bagi menentang penjajahan khususnya di Palestin diteruskan dengan lebih gigih lagi.

Menurut Perdana Menteri lagi, Malaysia boleh memberi sumbangan besar kepada negara-negara Asia-Afrika khususnya dalam bidang latihan dan pelaburan di negara-negara selatan.

Katanya, pada masa ini, ada pe­ngusaha Malaysia yang menubuhkan universiti di negara-negara tersebut selain melabur dalam bidang pembuatan, pembangunan, pe­rumahan, kemudahan asas dan sebagainya.

Persidangan Asia-Afrika berlangsung sejak 19 April lalu de­ngan Malaysia diwakili Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. – Utusan