Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, Daftar Kanak-kanak ialah pangkalan data nama pesalah kes jenayah terhadap kanak-kanak yang diwujudkan di bawah Akta Kanak-kanak (Pindaan) 2016 (Akta A1511).

Kata beliau, kewujudan Daftar Kanak-Kanak itu perlu diuar-uarkan memandangkan masih banyak majikan tidak menyedari kemudahan yang disediakan secara percuma oleh kerajaan itu.

“Setakat ini, terdapat 102 nama individu yang disenarai dalam daftar ini melibatkan 1,154 kes jenayah terhadap kanak-kanak. Bagaimanapun selepas daftar ini diwujudkan awal tahun ini, kita hanya menerima tiga permohonan semakan sahaja daripada majikan.

“Caranya hantarkan nama dan nombor kad pengenalan individu yang ingin disemak di mana-mana pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya selepas merasmikan Hari Taska Peringkat Kebangsaan 2017 di Pantai Sri Tujuh Resort, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Azman Yusof dan Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Datuk Zulkifly Ramli. - UTUSAN ONLINE