MoU yang dimeterai antara Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan itu menandakan usahasama ulung bagi inisiatif Negaraku dalam menyemai semangat cintakan negara melalui ekspresi seni visual dalam kalangan pelajar sekolah di negara ini.

Dalam masa sama, pertandi­ngan melibatkan 10,176 buah sekolah dan lebih lima juta pelajar seluruh negara itu juga bertujuan memupuk penghargaan terhadap karya dan bakat seni pada usia yang muda.

MoU tersebut ditandatangani Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr. Khair Mohamed Yusof dan Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Prof. Datuk Dr. Mohamed Najib Ahmad Dawa.

Yang turut hadir, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Ab. Ghaffar A. Tambi.

Dalam pada itu Mahdzir menjelaskan, pertandingan yang bermula 1 Mei hingga 31 Ogos itu melibatkan pelajar prasekolah, sekolah rendah dan menengah serta terbahagi kepada peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.

"Karya nukilan pelajar yang terpilih dan menang akan dipamerkan di Balai Seni Negara, Kuala Lumpur pada Hari Malaysia," katanya kepada pemberita selepas majlis tersebut.

Sementara itu Mohamed Najib berkata, hadiah keseluruhan bernilai RM100,000 bakal menanti pemenang yang terpilih bagi setiap kategori manakala hadiah khas akan diberikan kepada sekolah yang menghantar penyertaan terbanyak.

Keputusan pertandingan akan diumumkan di Facebook rasmi Balai Seni Negara dan laman web www.artgallery.gov.my.

Habis