Pesuruhjaya Suhakam, Jerald Joseph berkata, kerajaan baharu yang dipilih perlu mencari jalan penyelesaian sebaiknya bagi menangani permasalahan tersebut yang sudah berlarutan begitu lama.

“Mereka yang menjadi mang­sa adalah kanak-kanak, ada di antara mereka yang lahir di Sabah tetapi disebabkan ibu bapa tiada pengenalan diri mengakibatkan mereka tidak boleh didaftarkan.

“Perkara itu menyukarkan pihak pengurusan kerajaan mahupun kanak-kanak itu sendiri melayakkan mereka memasuki sekolah dan mendapatkan keperluan pendidikan yang sempurna,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini.

Katanya, misalnya, Indonesia yang sudah menjalinkan kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memba­ngunkan sebuah sekolah khusus dalam menyediakan pendidikan awal kepada kanak-kanak seperti itu.

Namun jelas Jerald, tidak ramai yang berpeluang mengikuti kelas pendidikan tersebut kerana tiada kesedaran dan memilih untuk melakukan kerja sama ada dalam di kawasan pedalaman mahupun di bandar.

Jerald berkata, situasi di Sabah agak sukar untuk diselesaikan dalam jangka masa singkat kerana corak aliran masuk pendatang daripada Indonesia dan Filipina agak mudah dan longgar.

Menurutnya, penguatkuasaan perlu dilaksanakan dengan berkesan bagi memastikan setiap penduduk memiliki kad pendaftaran kemasukan bagi pendatang dan kad pengenalan bagi rakyat negara ini.

Tambahnya, tiada jumlah tepat yang dapat diberikan kerana tidak ada kajian khusus berapa ramai golongan seperti itu berada di Sabah kerana kebanyakan mereka adalah pendatang daripada Indonesia dan Filipina, orang bajau laut dan sebagainya.

Namun apa yang dapat dipastikan jelasnya, setiap bulan Suhakam akan menerima di antara 40 hingga 60 laporan di mana 80 peratus daripada laporan tersebut adalah melibatkan penduduk yang tidak didaftarkan dan kanak-kanak.

“Kerajaan Malaysia, Indonesia dan Filipina harus mencari jalan penyelesaian sewajarnya terutama dalam menentukan mereka yang tidak mempunyai negara bagi memastikan semua pihak mendapat hak asasi masing-masing terutamanya pendidikan,” katanya.

habis