Naib Presidennya, Dr. Ahmad Hassan Masduki berkata, keputusan drastik itu perlu mengambil kira beberapa aspek penting terutama bukti asas (evidence based) mengenai bahaya terapi ozon, keberkesanan rawatannya dan soal kebajikan pesakit yang mengguna kaedah itu sebagai rawatan komplimentari.

Katanya, dengan menilai dan memberi pertimbangan wajar terhadap keperluan utama termasuk bukti saintifik beserta data statistik pesakit yang dirawat, maka secara holistiknya keputusan dibuat lebih kondusif dan tidak terburu-buru sehingga memangsakan golongan rakyat.

“Setakat ini keahlian PPPOM melebihi 100 syarikat tempatan dan luar negara yang menawarkan pelbagai jenis terapi ozon sebagai rawatan komplimentari bagi pesakit bermasalah kesihat­an ringan dan penyakit kronik.

“Memandangkan PPPOM wujud sejak 2004 membantu merawat beribu pesakit dari pelbagai latar sosial dengan kadar caj berpatutan bermula RM100 hingga RM800 berbaloi bagi yang memerlukan rawatan dan terapi sebagai pelengkap kepada rawatan konvensional sedia ada.

“Pengendali premis rawatan adalah mereka terlatih dan berwibawa yang mana setiap ahli diwajib mematuhi Standard Practise of Ozon Theraphy malah beroperasi secara sah serta berdaftar,” katanya dalam sidang akhbar PPPOM berkaitan pengharaman rawatan terapi ozon oleh Kementerian Kesihatan.

Dalam pada itu, Dr. Ahmad Hassan yang mewakili semua ahli PPPOM termasuk cawangan luar negara antaranya China, Amerika Syarikat, Singapura, Kanada dan lain-lain, berharap Kementerian Kesihatan mempertimbangkan keputusan pengharaman sebelum ini, selain amat mengalu-alukan kementerian sebagai pihak berautoriti untuk menyediakan garis panduan khusus dan pemantauan kepada PPPOM untuk merintis industri rawatan komplimentari tersebut di Malaysia.

“Keputusan drastik itu menyebabkan para pesakit kami kebingungan dan pada masa sama telah menimbulkan pelbagai persepsi tidak tepat berkenaan terapi ozon. Setelah lebih 13 tahun beroperasi, kini tiba-tiba perkhidmatan kami tawarkan diharamkan serta merta.

“Dakwaan tular di media sosial berkenaan bahaya terapi ozon, kemudaratan hingga ada kes kematian, adalah dakwaan jelik tidak berasas pihak yang tidak bermoral.

“Adalah lebih baik kita bercakap berlandaskan fakta, evidence based dan statistik pesakit kami yang ternyata menunjukkan rekod positif,” ujarnya yang tidak menolak kemungkinan, keputusan Kementerian Kesihatan sebelum ini diambil akibat kecelaruan maklumat yang disampaikan pihak tidak bertanggungjawab.