Hishammuddin Tun Hussein

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (gambar) berkata, Malaysia sesungguhnya yakin dan percaya bahawa per­tikaian itu bo­leh diselesaikan me­nerusi diplomasi dan institusi pelbagai hala se­perti ASEAN.

“Lihat melebihi andaian kalah menang atas fakta mudah bahawa keamanan adalah universal dan bukan soal campur tolak,” katanya dalam ucaptama pada Forum Fullerton 2017 di sini hari ini.

Beliau berkata terdapat keperluan mendesak untuk akhirnya mencapai kemajuan dalam perbalahan yang telah lama berlanjutan seperti Laut China Selatan.

“Sama ada kemajuan ini baik atau tidak terletak semata-mata di atas bahu negara di rantau ini dan rakan luarnya,” katanya.

Hishammuddin berkata, sejak akhir-akhir ini terdapat kecenderungan yang dikesali untuk dipecah-pecahkan hubungan luar di Asia Pasifik sebagai satu siri dikotomi palsu.

“Jelas kita sedang ditekan untuk memilih Timur atau Barat antara China atau Amerika Syarikat, antara liberalisme dan populisme,” katanya.

Beliau berkata perkara ini bertentangan dengan tradisi unik Asia mengenai pluralisme di mana pelbagai budaya, anutan dan sistem kepercayaan mampu wujud bersama dan subur sejak berabad-abad.

Hishammuddin berkata ia memerlukan pembaharuan komitmen kepada proses ke­selamatan pelbagai hala tanpa mengambil kira apa yang berlaku di sesetengah negara.

Dalam keadaan sedang berlaku atau kemungkinan berlaku perubahan ke­pimpinan di seluruh dunia, ia munasabah untuk dijangka perubahan tertentu dalam senario ke­selamatan dan polisi bagi sesetengah negara, kata­nya.

“Presiden Donald Trump (Ame­rika Syarikat) beberapa kali mengemukakan kemungkinan untuk mengurangkan sesetengah komitmen AS di luar negara.

“Sementara kita berharap beliau akan mempertimbangkannya, memandangkan betapa penting Asia Pasifik kepada ke­selamatan dan ekonomi Amerika, ia mungkin tiba masanya ASEAN mengambil cabaran ini dalam mengisi kekosongan berkenaan sebagai hasil perubahan sesetengah polisi yang melibatkan kuasa besar dunia,” katanya.

Forum Fullerton dianjurkan Institut Antarabangsa bagi Kajian Strategik (IISS) yang berpangkalan di United Kingdom yang menyediakan sokongan penting kepada Dialog Shangri-La yang edisi ke-16 akan berlangsung selama tiga hari mulai 2 Jun. – BERNAMA