Mohammad Shatar Sabran

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, persefahaman antara masyarakat dengan pihak sekolah perlu terus dipelihara agar proses pendidikan di negara ini berjalan lancar.

“Kita rindukan situasi se­perti dahulu apabila profesion guru dihormati dan dipandang tinggi oleh masyarakat terutama ibu bapa. Jadi, harapan saya pihak yang terlibat dalam kes ini dapat mencapai persefahaman dan menyelesaikannya dengan baik.

“Tindakan yang diambil oleh Cikgu Azizan adalah tindakan spontan seorang guru yang mahu memastikan gene­rasi muda di negara ini tidak hanyut dengan keseronokan malah keputusan telah pun dicapai oleh mahkamah untuk menarik semula pertuduhan terhadap beliau,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Selasa lalu, Mah­kamah Majistret Se­remban melepas tanpa membebaskan Cikgu Azizan atas pertuduhan men­cederakan muridnya Oktober lalu berikutan arahan da­ripada Jabatan Pe­guam Negara yang menarik semula pertuduhan berkenaan.
Usa­ha mempertemukan Cikgu Azizan, pihak sekolah dan keluarga murid ber­kenaan masih dijalankan oleh pelbagai pihak termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Semarak, Nilai.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Prof. Dr. Omar Yaakob berpendapat, ibu bapa, pentadbir sekolah dan pejabat pendidikan daerah perlu bersama-sama membincangkan jalan penyelesaian terbaik terhadap isu berkenaan.

“Semua pihak harus bertenang dan mencari jalan keluar secara aman dan harmoni demi kebaikan sistem pendidikan kita secara keseluruhan,” katanya.