Ketua Menteri berkata, rancangan terbaharunya ialah mahu membina paip grid atau paip besar dari selatan ke utara negeri ini bagi membolehkan semua penduduk terutama di luar bandar mendapat bekalan air bersih.

Beliau berkata, fasa pertama projek itu dijangka menelan peruntukan RM1 bilion dan jumlah itu dianggarkan bertambah antara RM7 hingga RM8 bilion apabila siap sepenuhnya.

“Semasa Tun Abdul Taib Mahmud (Yang Dipertua Negeri) menjadi Presiden (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu), beliau ada mengumumkan hala tuju untuk mencapai dasar Sarawak maju dalam teknologi menjelang 2030.

“Sekarang sudah tahun 2018, tidak lama lagi Tahun Baharu Cina, diikuti Hari Raya Aidilfitri dan lain-lain lagi sambutan sehingga habis tahun dan sampai 2030.

“Jadi, kita yang ada hari ini mesti bergerak ke arah 2030 yang mana pada hemat saya, kita (Sarawak) boleh mencapai taraf maju lebih awal daripada itu jika mampu mengurus baik negeri ini, sekiranya pendapatan kita boleh meningkat cepat,” katanya dalam ucapan merasmikan Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda dan Wanita PBB Sarawak Ke-14 di Pusat Konvesyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini.

Abang Johari yang juga Presiden PBB berkata, kerajaan negeri sedang berusaha untuk menambah pendapatan bagi membolehkan pelbagai projek bagi memajukan Sarawak dapat dilaksanakan.

Menurutnya, beliau akan memikirkan cara untuk meningkatkan pendapatan kerajaan negeri dan yakin usaha itu dicapai memandangkan Sarawak mempunyai sumber yang boleh dibangunkan seperti minyak dan gas serta empangan hidro elektrik.

Katanya, keyakinan mampu menambah pendapatan itu mendorong beliau berani mencadangkan pembinaan LRT termasuklah paip grid yang baru diumumkan itu.

“Saya berani buat LRT, buat projek besar termasuk paip grid dari selatan ke utara (Sarawak).

“Mana boleh kita sudah sudah merdeka tetapi air (paip) tidak ada. Bila pergi berkempen semasa pilihan raya ke kampung-kampung dan rumah panjang, penduduk mengadu tiada air paip,” katanya.

Justeru, Abang Johari berkata, amat penting untuk menyediakan kemudahan infrastruktur asas itu kepada penduduk luar bandar, meskipun sedar ia menelan kos yang tinggi.

Walau bagaimanapun, katanya, beliau ada formula untuk menyelesaikan masalah kos yang mahal itu termasuk menggunakan pinjaman daripada Bank Pembangunan Sarawak (DBOS).