Pelbagai alasan diberikan untuk 'menghalalkan' tindakan mereka memberikan janji-janji palsu kepada rakyat.

Justeru kita tidak perlu terkejut apabila pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) begitu mempertahankan tindakan rakan mereka memalsukan kelulusan.

Tanpa rasa bersalah mereka menegaskan, si polan tersebut bukan merogol atau mencuri, justeru apa yang berlaku bukanlah satu isu.

Begitulah jahilnya hujah-hujah yang dizahirkan biarpun isu berkenaan turut mendapatkan perhatian media antarabangsa.

Memanglah isu itu akan menjadi tumpuan kerana ia melibatkan seorang anggota Kabinet bertaraf Timbalan Menteri yang menjaga hal ehwal luar negara. Bayangkan apa pandangan negara lain terhadap Malaysia.

Janganlah pula nanti ada mana-mana ahli politik yang jahil berhujah ia isu kecil berbanding 1MDB. Semua itu hanya pandangan mereka yang tidak matang dalam menyentuh soal moral seorang ahli politik.

Tetapi apa yang mahu dihairankan kalau jutaan rakyat Malaysia boleh ditipu dengan janji-janji palsu, apalah sangat berbanding kelulusan palsu.

Justeru itulah kalau benar Bersatu yang selama ini pemimpin-pemimpinnya begitu mendabik dada menyanjung tinggi integriti dan melakukan tindakan politik kononnya demi maruah negara dalam isu 1MDB lakukan sesuatu terhadap individu yang terlibat.

Bagaimanapun kalau tiada tindakan dibuat, kita tidak perlu hairan kerana itulah martabat parti yang memerintah negara sekarang.Tidak pernah rasa bersalah biarpun menipu rakyat.

Kalau berbanding dengan manifesto harapan palsu yang ternyata beri kesan besar kepada rakyat ,apalah sangat dengan kelulusan palsu.

Bukankah Pakatan Harapan juga ditubuhkan melalui kerjasama politik palsu yang sekadar untuk mendapat kuasa. Sebab itulah kini kita lihat siapa paling berkuasa dalam kerajaan.

Percayalah selepas ini banyak lagi 'perkara-perkara palsu' berkaitan Pakatan Harapan akan muncul melibatkan rakyat tetapi jangan marah kerana kata pemimpin Bersatu, "ia bukannya merogol atau mencuri'...hebatkan? - UTUSAN ONLINE