Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKKM), Datuk Mohamed Fadzill Hassan berkata, pada masa ini, setiap agensi kerajaan bebas membuka tender dan menguruskan sendiri projek masing-masing walaupun tiada kepakaran dalam perkara itu.

Perkara itu kata beliau, mewujudkan pelbagai karenah birokrasi baharu yang menyebabkan ketidakseragaman prosedur, selain membuang masa dan menyusahkan para kontraktor terutama kelas G1 yang mempunyai modal terhad.

“Dulu, projek-projek kerajaan diuruskan oleh ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan) dan JKR (Jabatan Kerja Raya). Sekarang tender kerja dibuka agensi masing-masing. Penjara buka sendiri. Kastam, bomba, pendidikan pun buka sendiri.

“Jika berlaku masalah, siapa akan disalahkan? Padahal pegawai yang luluskan projek tidak ada kepakaran. Sebab itu kalau boleh kita minta biarlah JKR sahaja yang urus untuk elak rasuah dan kartel, di samping menjimatkan kos semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan PKMM Kelantan Kali Ke-42 yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr. Radzi Jidin, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua PKMM Kelantan, Datuk Mohd. Rosdi Ab. Aziz.

Mohamed Fadzill dalam pada itu memberitahu, apabila hal-hal berkaitan pembukaan tender dan penawaran kontrak diuruskan sendiri setiap agensi, timbul banyak karenah birokrasi yang tidak perlu.

“Kalau bomba, orang dia yang mengawasi projek. Projek Jabatan Pendidikan, guru yang mengawasi projek. Jika kesihatan, doktor yang awasi. Ketika sebut harga, dia minta macam-macam yang tidak perlu seperti lesen kewangan, lesen SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia).

“Dia tidak tahu, bila kontraktor sudah ada Sijil Perolehan Kerja Kerajaan (SPKK), automatik dia sudah ada lesen lain dan tidak perlu minta lagi. Dia tidak tahu kerana ini bukan bidang dan kepakaran dia,” katanya.

Sementara itu, Radzi berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) memberi jaminan akan terus membela nasib kontraktor bumiputera dan beliau sendiri mengambil berat setiap saranan dikemukakan serta sedia membincangkan perkara itu lebih lanjut di peringkat kementerian. - UTUSAN ONLINE