Sehubungan itu, NEF akan dijadikan panduan utama kerajaan bagi memacu pertumbuhan strategik keusahawanan negara dalam usaha memperkasa industri tersebut.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof memberitahu, rangka kerja yang meliputi empat teras strategi beserta 21 strategi objektif itu adalah penyediaan kepada Dasar Keusahawanan Negara yang dijangka dilancarkan pada pertengahan tahun 2019.

Jelas beliau, walaupun pada dasarnya lebih baik sekiranya semua agensi keusahawanan diletakkan di bawah satu kementerian, namun kemampuan mengurus mengikut sektor juga perlu diberi perhatian.

"Oleh itu, kita akan bertindak sebagai kementerian penyelaras supaya dapat menilai pencapaian setiap agensi berdasarkan kepada sasaran Kementerian Pembangunan Usahawan.

"Atas sebab itu juga kita lancarkan NEF ini yang akan menjadi platform mengumpul maklum balas semua pihak berkepentingan. Jika maklum balas mengatakan boleh meletakkan semua agensi di bawah satu kementerian, itu terpulang kepada keputusan Kabinet.

"Namun, buat masa ini apa yang kita ada kita akan laksanakan sebaik mungkin," katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan NEF, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli dan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawanan, Wan Suraya Wan Mohd. Radzi. - UTUSAN ONLINE