Abu Bakar Yahya

Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Selangor, Abu Bakar Yahya berkata, pengiktirafan sedemikian dilihat tidak perlu diberikan oleh kerajaan negeri buat masa ini memandangkan sukatan pelajaran UEC tidak diiktiraf oleh kerajaan Pusat selain tidak selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Beliau menegaskan, pihak­nya tidak menghalang usaha mahu memajukan bidang pendidikan untuk rakyat, namun perkara itu harus diselaraskan supaya selari dengan dasar pendidikan negara yang bermatlamatkan bukan hanya menyediakan keperluan tenaga manusia berilmu tetapi juga memastikan perpaduan antara rakyat pelbagai kaum.

“Kita tertanya-tanya mengapa kerajaan negeri membuat pengumuman untuk mengiktiraf UEC sedangkan Kerajaan Pusat difahamkan tidak mengiktiraf sijil peperiksaan itu setakat ini.

“Apakah kerajaan negeri memikirkan soal politik atau menuruti pihak tertentu, khususnya DAP di sebalik keputusan tersebut? Seharusnya kerajaan negeri mengambil kira Dasar Pendidikan Kebangsaan sebelum memutuskan untuk mengiktiraf UEC agar tidak timbul percanggahan dalam sistem pendidikan negara.

“Malah, dalam soal pendidikan, kerajaan negeri sepatutnya lebih arif dalam soal itu yang mana ini merupakan Senarai Persekutuan yang termaktub dalam Perlembagaan. Melihat keadaan ini, Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali seolah-olah cuba merobek Dasar Pendidikan Kebangsaan itu sendiri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Abu Bakar mengulas kenyataan Mohamed Azmin ketika membentangkan Bajet Selangor 2016 pada Jumaat lalu yang mengumumkan kerajaan negeri akan mengiktiraf sijil UEC mulai tahun depan sebagai sebahagian daripada syarat untuk melanjutkan pengajian di Unisel.

Menurut Mohamed Azmin, pengiktirafan itu dibuat bagi mengelak masalah penghijrahan rakyat berkemahiran tinggi ke luar negara yang semakin ketara, selain menyatakan sebanyak 3,000 pelajar menamatkan pengajian mereka dengan sijil UEC setiap tahun.

Bagaimanapun, pada 10 Jun lalu, Kementerian Pendidikan dilaporkan tidak mengiktiraf sijil UEC kerana Dong Zong tidak bersetuju dengan saranan kementerian itu supaya sukatan pelajaran sijil tersebut dipinda agar selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan.