Mohammed Khusrin Munawi
MOHAMMED KHUSRIN

Pengerusi MAIS, Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, peraturan tersebut dibuat setelah perbincangan diadakan dengan Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 19 hingga 20 Julai lalu.

"Menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berhubung isu perkahwinan antara lelaki berusia 41 tahun dan kanak-kanak berusia 11 tahun baru-baru ini di Selatan Thailand, pihak MAIS telah mengadakan pertemuan dengan beberapa pihak.

"Pihak MAIS, JAKESS, JAIS dan wakil jabatan Kerajaan termasuk pakar perubatan, universiti, dan badan bukan kerajaan (NGO) telah bertemu untuk berbincang mengenai isu tersebut secara mendalam," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mohammed Khusrin berkata, hasil perbincangan tersebut semua pihak bersetuju untuk meminda Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 yang melibatkan had umur minimum bagi perkahwinan di bawah umur bagi lelaki dan wanita Islam.

Katanya, cadangan kepada pindaan Enakmen tersebut akan dibawa kepada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor secepat mungkin. - UTUSAN ONLINE