Pengerusi FAMA Selangor, Datuk Abdul Ghariff Ramin berkata, pada bulan ini, pihaknya mengadakan SAM di Kuala Selangor dan Kuala Langat.

“Setakat awal tahun ini, kita sudah adakan SAM di 87 kawasan dan menjelang hujung tahun, 34 program sama bakal berlangsung.

“Program ini adalah jualan terus dari ladang kepada pengguna. Jumlah produk yang dijual adalah mengikut hasil yang dituai atau bekalan sedia ada,” katanya kepada pemberita selepas melawat SAM di Pusat Pengumpulan Hasil Ladang (PHPL) Teluk Panglima Garang di sini, semalam.

Yang hadir sama ialah Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Langat, Dr. Abdul Razak Kasbollah.

Abdul Ghariff memberitahu, keutamaan diberikan kepada petani yang tidak mempunyai tempat tetap untuk memasarkan produk mereka.

Mengulas mengenai ketidaktentuan harga cili akibat lambakan cili import, beliau menjelaskan, pihaknya telah menetapkan harga siling produk tersebut.

“Sebagai contoh, cili kulai harga silingnya RM5 sekilogram, cili minyak RM4.50 sekilogram. Kita harap pengeluar tempatan tidak tertekan dengan ketidaktentuan harga disebabkan faktor lambakan cili luar.

“Kita utamakan produk tempatan yang mana kita buat kempen untuk orang ramai mengenali cili tempatan dan import dari segi cita rasa. Cili tempatan lagi sedap dan enak dikunyah,” ujarnya.

Menurutnya, beliau berharap dengan adanya SAM, orang ramai boleh memilih cili merah tempatan yang asli tanpa ragu-ragu dan keliru untuk membeli. - UTUSAN ONLINE