Sehingga semalam, seba­nyak 61 kes termasuk dua kematian dilaporkan berlaku dan semalam sahaja 42 kes baharu dilaporkan iaitu 14 kes di Kedah, tujuh di Perak dan 21 kes di Selangor.

Kementerian Kesihatan sudah mengesahkan dua kematian yang berlaku adalah berkaitan dengan laksa di gerai tersebut.

Keadaan itu mewujudkan persoalan, apakah keracunan makanan yang di­sahkan dua kes daripadanya positif (bakteria) Salmonella spp berkaitan kebersihan di gerai terlibat atau produk laksa itu yang tercemar. Untuk rekod sebelum ini terdapat enam kes keracunan makanan dilaporkan tahun ini.

Sementara menanti keputusan rasmi Kementerian Kesihatan berhubung sampel makanan yang dihantar ke makmal untuk analisis, timbul tanda tanya sejauh manakah soal keselamatan makanan menjadi keutamaan sama ada oleh pengeluar, penjual atau peniaga makanan.

Ini memandangkan gerai makanan selain menjadi tumpuan rakyat dan pelancong, sudah tentu kes-kes keracunan yang berterusan berlaku menimbulkan kebimba­ngan.

Atas sebab itulah, apa yang berlaku di Baling harus dipandang berat dan memerlukan tindakan drastik Kementerian Kesihatan melalui Jabatan Kesihatan dan Pejabat Kesihatan daerah bagi memastikan gerai-gerai dan premis menjual makanan sentiasa bersih dan selamat.

Kita tidak mahu kes terbaharu ini akan menjejaskan imej Malaysia dalam industri pelancongan bahawa gerai makanan di negara ini tidak selamat dikunjungi seperti mana berlaku di sesetengah negara.

Oleh itu sudah sampai masanya pihak berkuasa bertindak segera dan mengambil langkah tegas bagi mengelakkan kes keracunan terus berlaku kerana ia bukan kali pertama terjadi.