Wartawan Utusan Malaysia, SAFINA RAMLI mencungkil kisah-kisah mereka yang pernah disentuh hidupnya oleh Hassan dan kehilangan Hassan pasti amat dirasai oleh mereka dan seluruh negara.

Kisah 1

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria

Sekitar 1960-an, dua anak muda iaitu Tan Sri Harussani Zakaria dan Tan Sri Hassan Azhari di­­tak­dirkan untuk menjadi du­yu­furrahman di Mekah.

Kedua-dua mereka baru berusia lingkungan 20-an memilih menggunakan perkhidmatan kapal laut bermula dari Pulau Pinang sehingga ke Jeddah, Arab Saudi untuk menunaikan haji.

Perjalanan selama lebih dua minggu itu merupakan titik mula persahabatan antara Mufti Perak itu dengan tokoh qari terkenal negara tersebut.

Di atas kapal laut itu, Hassan dan Harussani menyedari kedua-dua diikat dengan satu tali ikatan yang kuat, iaitu perjuangan untuk menegakkan agama Islam dengan cara yang tersendiri.

Sepanjang tempoh dua ming­gu belayar, kedua-dua saling mengenali secara lebih dekat malah solat lima waktu sering didirikan secara bersama-sama.

Tambah menarik, jodoh persahabatan mereka yang bermula di atas kapal laut diteruskan pula di Kuala Lumpur apabila tinggal berjiran di Datuk Keramat sekitar 1970-an.

Harussani ketika itu bertugas sebagai pegawai agama di Kementerian Dalam Negeri se­ring berkunjung ke rumah Hassan setiap hujung minggu untuk membincangkan pelbagai perkara berkaitan ummah.

Malah Harrusani juga pernah meminjamkan jaket musim sejuk miliknya kepada Hassan yang ketika itu mahu ke Mesir atas urusan pekerjaan.

Hassan yang mempelajari al-Quran sejak kecil di Mekah amat mahir dengan ilmu taj­wid manakala Harussani pula lantang dalam menyuarakan kebenaran mengenai ajaran Islam membuatkan persahabatan kedua-dua mereka kekal utuh.

Bagaimanapun, kelmarin, sia­pa sangka Harussani telah kehilangan seorang sahabat yang dikenalinya ketika dalam perjalanan ke Mekah itu,

Hassan dijemput kembali menghadap Tuhan pada usia 90 tahun akibat kanser limfoma dan bagi Harussani, Allahyarham Hassan diingati sebagai seorang sahabat terbaik yang mendedikasikan seluruh hidupnya kepada al-Quran.

Kisah 2

 

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman

Ketika 1990-an, Abdul Rahman yang ketika itu merupakan seorang kadi di Pahang berpeluang untuk menjalani kursus ilmu tajwid bersama Hassan anjuran kerajaan negeri Pahang.

Kursus secara berkala itu diadakan untuk memantapkan lagi ilmu al-Quran yang ada pada para kadi di Pahang dan bagi Abdul Rahman dirinya cukup bertuah kerana dapat berguru dengan Hassan yang pernah menjadi anak murid kepada ulama-ulama terkenal seperti Sheikh Ismail Tamim, Sheikh Muhammad Abdul Sa­mad, Dr. Ahmad Nuaina dan Syed Mahmud Amin Tantawi.

Selepas tamat berkursus de­ngan Hassan, ketika menjawat jawatan sebagai Mufti Pahang Abdul Rahman kerap bersama-sama dengan Hassan di dalam majlis-majlis ilmu termasuk dalam acara tilawah al-Quran, malah Hassan juga diberi tanggungjawab untuk mendidik para qari dan qariah dari Pahang.

Daripada pengamatan Abdul Rahman, walaupun Hassan memiliki ilmu penuh di dada, namun dia tidak pernah mendabik dada dengan ilmu yang dimiliki.

Malah antara sikap terpuji yang dimiliki Hassan ialah beliau selalu menggembirakan sahabat yang berada di sekelilingnya de­ngan ilmu yang dimiliki itu dan sikap itu berterusan sehinggalah Hassan dijemput kembali menghadap Allah kelmarin.

Kisah 3

 

Pengerusi Eksekutif Andalusia Tra­vel & Tour Sdn. Bhd. (Andalusia), Datuk Md. Daud Che Ngah

“Kamu pandai baca al-Quran tetapi jangan gopoh baca.”

Itu teguran yang sering diteri­ma Datuk Md. Daud Che Ngah ketika mempelajari ilmu tajwid al-Quran bersama dengan Hassan di rumahnya di Datuk Keramat, Kuala Lumpur.

Md. Daud yang ketika itu (tahun 1969) masih bergelar pelajar di sebuah kolej Islam di Petaling Jaya sering berkunjung ke rumah Hassan untuk mempelajari serta memperbaiki bacaan al-Quran bersama dengan Hassan.

Bagi Md. Daud, Hassan merupakan seorang guru yang tegas namun suka memuji anak muridnya bagi memberi motivasi kepada mereka untuk terus memantapkan bacaan al-Quran.

Ayat-ayat berunsur motivasi yang sering dituturkan oleh Hassan membuatkan Md. Daud selama dua tahun bersungguh-sungguh memperbaiki bacaan al-Quran dengan bergurukan Hassan yang mahir dalam ilmu tajwid.

Selain itu, dalam memastikan setiap anak muridnya dapat menyebut setiap huruf al-Quran dengan tepat, Hassan juga akan mempamerkan mimik muka berserta dengan gerakan bibir sehingga dapat diikuti dengan betul oleh setiap anak muridnya.

Kira-kira 12 tahun lalu, Md. Daud diberikan rezeki untuk berada di dalam pesawat yang sama dengan Hassan yang ketika itu mahu menunaikan umrah di Mekah.

Sepanjang perjalanan, Md. Daud tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama dengan gurunya membaca al-Quran di dalam pesawat itu.

Selain itu, kedua-dua juga sering ditakdirkan untuk sering berjumpa di dalam majlis-majlis ilmu dan Md. Daud amat kagum dengan kekuatan ingatan Hassan yang masih mengingati setiap nama anak muridnya.

Bagi Md. Daud jasa Hassan menerusi ilmu yang dicurahkan terhadap dirinya tidak dapat dibalas dengan wang ringgit hanya Allah sahaja yang mampu membalasnya.

Kisah 4

 

Pengerusi Yayasan Fitrah Malaysia, Datuk Aidit Ghazali

Setiap hari, sekitar pukul 6 petang, Datuk Aidit Ghazali yang ketika itu berusia lingkungan lapan tahun bersama seorang adiknya akan bersiap sedia di depan televisyen.

Bersama buku nota dan pensel, tumpuan Aidit ketika itu difokuskan kepada seorang guru yang mengendalikan rancangan Muqaddam di saluran RTM.

Menurut Aidit, pada waktu itu, walaupun warna yang disajikan kepada penonton televisyen hanya dalam hitam putih, namun Tan Sri Hassan Azhari berjaya membuatkan dia dan seluruh ahli keluarga terpaku di depan televisyen.

Setiap kali rancangan Mu­qaddam itu ke udara, Aidit mera­sakan ia bagaikan waktu untuk setiap keluarga di kawasan Kampung Gombak Setia yang dihuninya itu berkumpul bagi mempelajari ilmu tajwid yang diajar oleh Hassan.

Menerusi rancangan tersebut yang dikendalikan oleh Hassan itu kecintaan Aidit pada al-Quran mula disemai dan rancangan Muqaddam itu berjaya membuka hati Aidit serta berjuta-juta lagi kanak-kanak untuk mempelajari al-Quran dengan tajwid yang betul.