Statistik yang diperoleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berdasarkan kepada permohonan bagi mendapatkan bantuan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) itu turut merekodkan seramai 1,933 orang hilang pekerjaan dalam sektor pembinaan manakala 1,754 orang dalam sektor kewangan.

Bagi kategori pekerjaan pula, perkeranian dan pekerja sokongan merekodkan kehilangan pekerjaan tertinggi sebanyak 4,089 orang (18.4 peratus) diikuti sektor jualan dan perkhidmatan 3,807 (17.1 peratus) serta kategori profesional berjumlah 3,671 orang (16.5 peratus).

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar menjelaskan, sebanyak RM16.45 juta faedah interim SIP telah diserahkan Perkeso kepada individu yang kehilangan pekerjaan sejak Januari tahun ini.

Jelas beliau, jumlah itu merangkumi pemberian faedah sebanyak RM600 melibatkan permohonan daripada 22,268 pekerja yang telah kehilangan pekerjaan sehingga 14 Disember lalu.

“Mereka yang hilang pekerjaan dari 1 Januari sehingga 31 Disember ini layak menerima bantuan interim untuk tempoh maksimum tiga bulan.

“Bagi individu yang kehilangan pekerjaan mulai 1 Disember dan telah cukup mencarum minimum sebanyak 11 bulan caruman pula layak menuntut faedah penuh SIP seperti Elaun Mencari Pekerjaan (EMP), Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA) dan Elaun Pendapatan Berkurangan (EPB),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Majlis Penyampaian Faedah Penuh SIP khususnya kepada bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad dan Mini Job Hunt Perkeso di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zulkefli Hamzah. - UTUSAN ONLINE