Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, perolehan pelancongan negara juga meningkat sebanyak RM13 bilion untuk mencatat jumlah keseluruhan RM82.1 bilion, yang merupakan 49 peratus daripada sasaran 2020.

"Usaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC) dalam memudah cara Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Pelancongan menjana keberhasilan mantap dengan Kementerian mencapai 112 peratus daripada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) tahun lalu," katanya dalam Laporan Tahunan Program Transformasi Negara (NTP) 2016 yang dikeluarkan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Jabatan Perdana Menteri hari ini.

Keputusan kerajaan membenarkan permohonan eVisa daripada China termasuk pilihan tanpa visa (eNTRI) juga memberi impak positif apabila jumlah pelancong dari negara itu merekodkan peningkatan sebanyak 26.7 peratus pada 2016, dengan melonjakkan prestasi sektor berkenaan pada tahun tersebut.

Berdasarkan kejayaan program perintis itu, katanya, kemudahan itu akan diperluaskan ke negara lain seperti India, Bangladesh, Nepal dan Myanmar.

2016 turut mencatatkan kejayaan besar bagi sektor pelancongan apabila Malaysia menerima beberapa pengiktirafan global termasuk dinobat sebagai Destinasi Terunggul Asia dalam World Travel Awads 2016, Destinasi Mesra Muslim Pertama dalam Master-Card-Crescent Rating Global Muslim Travel Index 2016, Destinasi Bandar Asia Terbaik oleh Travvy Awards.

Kuala Lumpur pula dinamakan antara lima Destinasi Terbaik dalam senarai 25 bandar beli-belah terbaik dunia oleh Expedia UK manakala Ipoh, Perak menerima pengiktirafan 10 Terbaik di Asia oleh Lonely Planet 2016.

Dalam usaha melakar hala tuju lima tahun akan datang, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan melalui Makmal Pelancongan dan Budaya 2.0 (Makmal 2.0) mencadangkan 71 inisiatif merentas 12 Bidang Fokus terdiri daripada budaya, seni dan warisan, kraf tangan, aktiviti mencerap burung, menyelam dan inap desa.

"Usaha ini merangsang industri untuk mempelbagaikan penawarannya dan memanfaatkan pelbagai produk dan pengalaman tempatan industri," kata Mohamed Nazri.

Bagi Pelancongan Perniagaan, Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB), Malaysia terus menjadi destinasi perniagaan terunggul di rantau ini dengan menyaksikan sejumlah 341 acara perniagaan diadakan termasuk mesyuarat korporat, lawatan galakan dan konvensyen telah menarik seramai 127,849 perwakilan antarabangsa serta menjana kira-kira 1.5 bilion impak ekonomi negara.

Menurutnya Malaysia juga bersedia meneruskan pencapaian dalam pelancongan perniagaan dengan memberi kemudahan baharu seperti peluasan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan Pusat Konvensyen Kota Kinabalu, Sabah yang dijadual siap pada tahun hadapan. - Bernama