Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Baharin Idris berkata,

keamanan yang dinikmati ketika ini hanya boleh dikekalkan jika setiap rakyat berusaha untuk memastikan keharmonian wujud di setiap peringkat masyarakat dan tempat.

“Syarikat swasta dan korporat ketika ini dilihat lebih banyak memberi tumpuan kepada program-program kebajikan sosial selain berkaitan alam sekitar.

“Sehubungan itu, kami berharap lebih banyak usaha dilakukan dalam memupuk dan mempromosikan perpaduan nasional terutama daripada sektor swasta kerana menjaga kestabilan dan pertumbuhan negara yang mampan adalah amat penting,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh timbalannya, Mimi Aldrina O.P Andu pada Majlis Makan Tengahari Amal sempena perayaan Hari Malaysia anjuran Dewan Perniagaan Dan Perindustrian Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCCCI) di Wisma Chinese Chamber dekat sini hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Presiden KLSCCCI, Michael Chai Woon Chew.

Sementara itu, menurut Woon Chew, program makan tengahari amal yang dianjurkan pihaknya hari ini merupakan program kedua dilaksanakan khusus sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

“Program hari ini lebih menarik kerana melibatkan penghuni beberapa pertubuhan dan rumah-rumah kebajikan bagi memberi ruang kepada mereka menzahirkan rasa kasih kepada negara ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE