Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kerajaan menetapkan sasaran pengli­batan sekurang-kurangnya 50 pe­­ratus sektor komersial dalam LIMA’17, terutamanya dalam pameran daripada pemain industri bagi kedua-dua sektor aeroangkasa dan maritim.

“Bagi pertunjukan udara dan maritim pula, walaupun masih di­dominasi oleh aset-aset pertahanan, terdapat minat yang begitu tinggi dalam kalangan pemain industri untuk terlibat dalam pertunjukan ini seperti syarikat pembuat kapal terbang Boeing dan Airbus.

“Kita jangkakan LIMA’17 bakal memperlihatkan pertunjukan uda­­ra dan maritim daripada sektor komersial juga,” katanya.

LIMA’17 bakal mencatat rekod penyertaan terbesar dengan 550 pempamer daripada 36 buah negara telah mengesahkan keha­diran berbanding 512 pada 2015.

Daripada jumlah tersebut, le­bih 240 pempamer terdiri daripada sektor komersial yang meliputi segmen penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), syarikat pembuatan pesawat dan kapal komersial, syarikat-syarikat pengendali, akademi-akademi la­­tihan serta pemain-pemain in­dustri aeroangkasa dan maritim.

Jelas Tiong Lai, sememangnya LIMA‘17 kali ini begitu bermakna kepada Kementerian Pengangkutan khususnya setelah berjaya mengekalkan kerusi Ahli Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) pada akhir tahun lalu.

Lebih penting lagi, katanya, pada tahun ini Malaysia melalui kementerian tersebut sekali lagi akan bertanding bagi mengekalkan kerusi Ahli Majlis Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) pada penghujung tahun ini.

“Sudah semestinya LIMA’17 akan menjadi platform yang amat penting buat Kementerian Pe­ngangkutan lebih-lebih lagi pada tahun ini kita akan bertanding bagi mengekalkan kerusi Ahli Majlis IMO Malaysia bagi penggal ketujuh.

“Saya percaya LIMA’17 akan menjadi satu kejayaan yang amat besar buat negara dan meletakkan Malaysia setanding dengan negara-negara maju dalam bidang aeroangkasa dan maritim serta sebaris dengan pameran terkemuka dunia seperti Paris Air Show, Farnborough Air Show, England dan Singapore Air Show,” katanya.

Kementerian Pengangkutan te­lah memilih tema iaitu Malaysia, The Preferred Logistics Gateway To Asia bagi LIMA’17 bersesuai­an dengan kementerian tersebut dipertanggungjawabkan untuk men­jadikan sektor logistik negara sebagai hub logistik di rantau ini. Ini juga bertepatan dengan pameran yang merangkumi sektor udara dan maritim yang merupakan elemen terpenting dalam sektor logistik.

“Dengan sistem jaringan pe­ngangkutan udara dan maritim yang efisien dan berdaya saing, pameran ini dilihat sebagai satu mekanisme dalam menjayakan as­pirasi bagi menjadikan Malaysia tumpuan sektor logistik yang terkemuka di Asia,” jelas Tiong Lai.

Selain itu, LIMA kali ini me­nyak­sikan peningkatan bilangan pesawat dan kapal yang bakal membuat pertunjukan dan dipa­merkan. Antara negara yang me­ngambil bahagian dalam pertun­jukan kali ini termasuk Korea Se­latan, India, Rusia, Indonesia, Perancis, Thailand dan Amerika Syarikat.

Tambahan lagi, penganjuran LIMA pada tahun ini adalah lebih fokus apabila kedua-dua sektor aeroangkasa dan maritim diadakan di dua tempat yang berbeza iaitu pameran aeroangkasa diadakan di Mahsuri International Exhibition Centre (MIEC), manakala pameran maritim diadakan di Resorts World Langkawi.

Kelainan ini sudah tentu mem­beri impak yang lebih besar kerana pemain industri dan pempa­mer akan lebih fokus dalam mem­berikan khidmat dan infor­masi serta maklumat kepada pi­hak berkepentingan dalam industri masing-masing dan kena pada pengunjung sasaran.

Dalam hal ini, Kementerian Pengangkutan membawa bersa­ma 31 jabatan, agensi, syarikat pengendali serta pihak berkepen­tingan di bawah satu bumbung di dalam kawasan pameran Kementerian Pengangkutan atau lebih di­kenali sebagai MOT Pavilion.

Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Saripuddin Kassim berkata, ini adalah bagi memberikan gambaran yang menyeluruh akan fungsi kementerian sebagai pemudah cara atau enabler bagi industri pengangkutan dan pada masa yang sama menonjolkan industri pengangkutan negara kepada pemain antarabangsa.

“Antara pemain industri yang menyertai pameran di bawah kendalian MOT termasuklah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Suruhanjaya PenerbanganAwam, Biro Siasatan Kemalangan Udara, Malaysia Airports Holding Berhad, AAT Sdn. Bhd., syarikat pengendali penerbangan utama negara seperti Malaysia Airlines Bhd., Air Asia dan Malindo serta beberapa syarikat MRO.

“Turut serta dalam pameran maritim MOT pula adalah Jabatan Laut Malaysia, Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pe­ngangkutan Sarawak, Kementerian Pembangunan Infrastuktur Sabah, lembaga-lembaga pelabuhan, operator pelabuhan, Institut Maritim Malaysia (MIMA), P&I Malaysia, Akademi Laut Malaysia, Persatuan Perkapalan Malaysia dan Universiti Malaysia Terengganu,” katanya.

Tambahnya, apa yang lebih menarik pada LIMA’17 ialah Kementerian Pengangkutan melalui DCA bakal menganjurkan Persidangan Penerbangan ASEAN edisi kedua setelah mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan daripada industri penerbangan awam pada edisi pertama semasa LIMA 2015.

“Selain itu, Jabatan Laut Malaysia turut menganjurkan Forum Ketua Agensi Keselamatan Mari­tim Asia Pasifik (APHoMSA) sempena dengan pameran LIMA kali ini,” katanya.