Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, penubuhan sekretariat itu adalah satu lagi peristiwa penting dalam penganjuran Dialog Pangkor yang sudah masuk tahun keempat.

Tambah Zambry, sekretariat tetap itu diharap akan berupaya menjadi platform yang besar di peringkat antarabangsa bagi menjayakan kenyataan bersama pembangunan mapan sebagaimana dipersetujui negara dunia.

“Ini menandakan satu lagi pe­ristiwa penting dalam komitmen kami untuk memastikan Dialog Pangkor berubah dan menjadi kuasa rujukan untuk pembangunan mapan.

“Ia juga selaras dengan 17 perkara yang dipersetujui seluruh dunia berkaitan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG),” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penutup Dialog Pangkor 2017 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Aman Jaya Casuarina@Meru, di sini.

Yang turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Ketua Pegawai Eksekutif IDR, Dr. Mazalan Kamis.

Dalam pada itu Zambry berkata, tidak seperti Dialog Pangkor, penganjuran Temasya Idea Perak atau Perak Festival of Ideas (PFoI) juga dilihat amat berjaya walaupun kali pertama dianjurkan.

Katanya, PFoI berjaya mencapai jumlah pengunjung yang jauh lebih besar daripada yang dijang­kakan dalam persidangan dan seminar serta menjana inte­raksi mengenai idea dan kreativiti pa­da skala yang lebih besar.

“Sasaran menghimpunkan sebanyak 10,000 idea pada mulanya agak menakutkan pada mulanya tetapi kini menjadi kenyataan dan mendapat pengiktirafan dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai program terbanyak dianjurkan dalam tempoh seminggu.

“Berdasarkan maklum balas yang diterima, kita juga mungkin akan memanjangkan lagi tempoh penganjuran Dialog Pangkor atau PFoi pada masa depan,” katanya.