Menteri Kesejahteraan Ban­dar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata, langkah tegas itu perlu diambil bagi mengelakkan kejadian tragis yang menimpa Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur semalam, sehingga meragut 23 nyawa iaitu 21 pelajar dan dua guru berulang pada masa hadapan.

Bagaimanapun katanya, langkah menutup institusi berkenaan hanya akan dikuatkuasakan selepas pemeriksaan dibuat Jabatan Bomba dan Penyelamat terlebih dahulu dan sekiranya terdapat kelemahan dalam aspek keselamatan bangunan, pengusaha diminta membaikinya sebelum tindakan diambil jika masih gagal berbuat demikian.

“Bagi maksud itu, saya telah mengarahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat di seluruh negeri agar membuat pemeriksaan ke atas setiap sekolah tahfiz, pondok, agama rakyat dan institusi pendidikan untuk memastikan setiap bangunan atau asrama yang didiami selamat serta menepati piawaian pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Semalam, negara dikejutkan dengan kejadian kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang membunuh 23 nyawa sehingga seluruh rakyat melahirkan kesedihan.

Terdahulu beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor mengunjungi serta menyampaikan sumbangan kepada lima buah keluarga yang kurang bernasib baik di Kampung Sungai Tengi Kanan Baroh di sini.