Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan, saranan itu sebagai kenyataan tidak berakhlak dalam konteks Islam. 

“Apa masalah sekolah tahfiz? Pelajar sekolah itu tidak pernah buat masalah pada negara, sama ada melahirkan ‘pengganas’ ataupun timbul isu kononnya sistem pendidikan mereka tidak selari dengan sistem pendidikan negara. 

“Bahkan, (sekolah tahfiz) melahirkan ramai profesional seperti jurutera dan peguam, jadi saya fikir kenapa bebanan perlu diletakkan kepada sekolah berkenaan? Pas bersungguh mempertahankan institusi itu kerana merupakan tempat yang berjaya melahirkan generasi berakhlak mulia dan bertanggungjawab,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan tazkirah sempena Kuliah Bulanan Wanita di Balai Islam Lundang, di sini hari ini. 

Yang turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Wanita negeri, Mumtaz Md. Nawi dan Selebriti Dakwah, Yatt Hamzah. 

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, sebaliknya Zainuddin lebih baik membincangkan tentang masalah sosial yang melanda remaja di negara ini. 

“Apa masalah yang melanda di negara kita sejak dahulu lagi? Isu dadah, mat rempit dan kebejatan masalah moral semuanya adalah berpunca akibat tiada didikan agama. 

“Golongan yang terjebak dengan kancah masalah itulah yang perlu dibina asas jati diri bermula dari peringkat awal akibat al-Quran tidak disemai dalam sanubari mereka,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE